Hiburan jangan normalisasi LGBTQ

Hiburan jangan normalisasi LGBTQ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONTROVERSI yang tercetus berhubung drama Madu dan Racun menimbulkan persoalan tentang batas pemaparan hubungan songsang dalam hiburan.

Seni bukan sekadar mencerminkan realiti tetapi turut membentuk cara masyarakat memahami, menilai dan bertindak balas terhadapnya.

Sesebuah watak, dialog atau adegan mungkin bertujuan mengetengahkan masalah sosial. Namun, jika tidak diolah dengan cermat, perhatian penonton boleh beralih daripada mesej kritikan kepada daya tarikan watak atau adegan yang dipaparkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Oleh sebab batas antara pemaparan realiti dengan normalisasi amat halus, maka pengkarya perlu memberikan perhatian serius terhadap niat, cara penyampaian, kerangka nilai, khalayak sasaran dan kesan karya terhadap masyarakat.

Dari sudut niat, kaedah al-umur bi maqasidiha memberikan panduan bahawa setiap perkara dinilai berdasarkan tujuannya. Sesebuah karya mungkin dihasilkan untuk mendidik, menegur, memberikan kesedaran atau sekadar menghiburkan. Namun, niat yang baik sahaja tidak memadai.

Sebaliknya perlu diterjemahkan melalui cara yang juga baik, termasuk jalan cerita, pembentukan dan lakonan watak, bahasa visual serta kesimpulan moral yang selaras dengan tujuan karya.

Tanpa ketelitian, watak atau budaya yang pada asalnya mahu dikritik boleh menjadi unsur paling menonjol dan akhirnya mempengaruhi khalayak. Kesannya, batas antara perkara yang benar dengan yang salah semakin kabur. Perbuatan yang ditegah agama tidak lagi dipersoalkan, malah mungkin diterima sebagai pilihan peribadi yang tidak wajar dipertikaikan.

Pada titik inilah pemaparan realiti berubah secara halus menjadi normalisasi.

Pengkarya juga perlu memahami tidak semua perkara perlu dipertontonkan atas alasan memberikan pengajaran. Dalam hubungan ini, maksud hadis yang diriwayatkan Imam Muslim wajar dihayati.

Hadis tersebut menjelaskan kedudukan seorang lelaki yang paling buruk di sisi Allah pada hari kiamat disebabkan menyebarkan rahsia isterinya setelah melakukan hubungan intim. Hadis ini menunjukkan hubungan intim antara suami dengan isteri yang halal sekalipun tidak boleh disebarkan kepada umum.

Oleh itu, hubungan songsang yang dikeji, lebih-lebih lagi tidak wajar dipaparkan secara terbuka untuk tontonan umum.

Tidak dinafikan, hubungan songsang sememangnya berlaku dalam masyarakat.

Namun, usaha mendidik dan memberikan pengajaran kepada masyarakat tidak seharusnya membuka ruang kepada normalisasi kemungkaran.

Pemaparan sedemikian dikhuatiri mencetuskan keinginan khalayak untuk mencuba atau meniru perlakuan tersebut. Hal ini terbukti melalui pengakuan seorang remaja kepada pakar bahawa kecenderungan terhadap lesbianisme bermula selepas tontotan pronografi lesbianisme di YouTube.

Pengalaman tersebut menunjukkan kandungan media boleh mempengaruhi pemikiran dan imaginasi seseorang, khususnya golongan muda dan individu yang sedang berusaha mengawal diri.

Dari aspek nilai, Islam mengajar kemungkaran perlu dicegah dan dibetulkan, bukannya dipromosikan. Nabi SAW memerintahkan umat Islam mengubah kemungkaran berasaskan kuasa atau kemampuan atau sekiranya tidak mampu, melalui teguran, nasihat serta kritikan atau pula sekurang-kurangnya membenci dalam hati sebagai selemah-lemah iman.

Oleh itu, karya seni tidak seharusnya menjadi saluran untuk mengindahkan, mewajarkan dan meraikan perbuatan yang jelas dilarang oleh syariat. Nilai asas dalam Islam bersifat tetap kerana bersumberkan al-Quran dan sunnah.
Hal ini berbeza daripada sebahagian kerangka nilai barat yang dibentuk berdasarkan perubahan pendirian dan pandangan serta penerimaan sosial.

Sesuatu yang dahulunya dianggap bertentangan dengan nilai masyarakat, kemudiannya boleh diterima apabila pendirian masyarakat berubah.

Sebagai contoh, perkahwinan pada asalnya difahami dan diiktiraf sebagai penyatuan antara lelaki dengan wanita. Namun, perubahan nilai dan undang-undang menyebabkan perkahwinan sejenis kini diiktiraf di hampir 40 buah negara dan wilayah di seluruh dunia, kebanyakannya di Eropah dan benua Amerika.

Kesan sesebuah karya perlu dinilai berdasarkan pertimbangan maslahah (kebaikan) dan mafsadah (keburukan). Pengkarya perlu meneliti sama ada karya tersebut meningkatkan kefahaman, memberikan kesedaran dan membantu menangani sesuatu masalah atau sebaliknya mengaburkan sempadan agama serta menghakis kepekaan moral.

Penilaian ini bukan sahaja tertumpu pada perkara yang dipaparkan tetapi juga pada cara ia dibingkaikan dan mesej yang diterima penonton. Apabila sesuatu gaya hidup dipaparkan secara berulang dan secara positif tanpa kerangka nilai yang jelas, perkara yang bertentangan dengan ajaran agama dan norma masyarakat, beransur-ansur dianggap biasa lalu akhirnya diterima. Normalisasi ini pula berlaku bukan melalui paksaan tetapi sebaliknya menerusi pembiasaan.

Dalam hubungan ini, Nabi SAW memberikan amaran, “Sesungguhnya kamu akan mengikuti jejak langkah golongan sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga akhirnya jika mereka memasuki lubang biawak padang pasir, kamu juga akan mengikuti mereka.”

“Sahabat-sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah yang dimaksudkan itu orang Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab, “Siapakah lagi?” (Al-Bukhari).

Hadis ini jelas memberikan amaran bahawa sebahagian umat Islam akan mengikuti amalan umat terdahulu secara beransur-ansur termasuk dalam perkara yang ditegah agama.

Dari sudut institusi keluarga, normalisasi tersebut boleh mencabar kefahaman tentang perkahwinan, peranan ibu bapa serta hubungan kekeluargaan yang terbina melalui perkahwinan antara lelaki dengan wanita.

Perubahan nilai yang berlaku di barat tidak mustahil akhirnya turut diterima di negara ini sekiranya dinormalisasi dibiarkan tanpa sekatan dan bantahan keras masyarakat.

Golongan muda merupakan kelompok yang mudah terkesan oleh perubahan tersebut disebabkan mereka melalui proses pembentukan identiti, pemikiran dan pertimbangan moral.

Kandungan hiburan yang menarik, watak yang mudah dikagumi dan dijayakan oleh selebriti atau pempengaruh boleh membentuk tanggapan mereka tentang perkara yang dianggap biasa dan diterima oleh masyarakat.

Jika keadaan ini berterusan, nilai atau sifat mulia seperti malu yang merupakan sebahagian iman malah tidak mustahil juga lama-kelamaan akan lenyap.

Sekiranya isu hubungan songsang atau pergerakan orang-orang lesbian, gay, biseksual, transgender, dan queer (LGBTQ) mahu dipaparkan dalam sesebuah karya, beberapa perkara perlu diberikan perhatian.

Pertama, tujuan karya hendaklah berasaskan niat yang baik dan diterjemahkan secara konsisten melalui jalan cerita serta pembentukan watak.

Kedua, penceritaan perlu mengelakkan unsur seksual yang eksplisit, gambaran hubungan secara berlebihan dan pembingkaian yang menjadikan gaya hidup tersebut ideal serta wajar dicontohi.

Ketiga, penggiat seni wajar mendapatkan pandangan ilmuwan agama, ahli psikologi, pakar undang-undang dan pendidik. Tindakan ini bukan bertujuan menyekat kreativiti tetapi memastikan fakta, hukum dan kesan psikososial digambarkan secara tepat. Kandungan hiburan juga perlu melalui tapisan dan penarafan yang tegas.

Dalam hubungan ini, saranan yang dikemukakan agar undang-undang khusus bagi penapisan penstriman digital yang memerlukan penyedia penstriman menapis kandungan berdasarkan garis panduan sebelum ditawarkan kepada pengguna amat baik.

Rumusannya, seni yang benar-benar bermutu berani mengangkat realiti tanpa sama sekali mengorbankan batas agama, nilai akhlak dan kesejahteraan masyarakat atas nama kebebasan berkarya.-UTUSAN

PENULIS ialah Felo Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×