PETALING JAYA: Pelakon, Puteri Sarah Liyana, 40, kecewa apabila pandangannya tentang isu ‘sekufu’ dalam mencari pasangan telah disalah anggap segelintir orang di media sosial.
Menurut Sarah, yang beliau maksudkan dengan sekufu itu adalah sealiran dalam pemikiran, bukanlah membabitkan harta kekayaan.
“Yang saya maksudkan dengan ‘sekufu’ itu adalah pemikiran dan pemahaman yang sama, boleh berkomunikasi antara pasangan.
“Insya-Allah, jika saya berkahwin lagi, kualiti itu yang saya cari dalam seorang suami. Bukannya status atau harta,” katanya ketika ditemui semasa majlis Tahlil Allahyarham Tun Dr. Hasmah Mohd Ali di Musolla Aisya, Setapak, semalam.
Menurut Sarah, seorang wanita atau lelaki perlu berusaha mencari pasangan yang benar-benar sesuai dengan mereka untuk memastikan kehidupan berkahwin berpanjangan.
“Memanglah kita tak tahu siapa bakal menjadi suami kita sebab Allah yang tentukan.
“Tetapi kita juga harus berusaha, mencari pasangan yang sesuai untuk kita.
“Jadi apabila sudah duduk semeja, berkenalan barulah kita tahu sama ada pasangan itu sesuai atau tidak dengan kita,” ujarnya.
Bercakap mengenai soal harta dan pendapatan stabil, Sarah tidak menolak perkara itu penting dalam mencari suami.
“Harta perlu untuk kelangsungan hidup. Kewangan pasangan kita kena stabil, sama sama bekerja.
“Tapi yang paling penting adalah mentaliti kena sama, orang kata satu frekuensi,” ujarnya. – UTUSAN











