GAZA: Sekatan Israel ke atas hampir dua pertiga wilayah Gaza menjadi halangan utama kepada usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan serta melindungi penduduk daripada banjir, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata sekatan akses meliputi kira-kira 65 peratus kawasan daratan Gaza, manakala baki 35 peratus pula sudah terlalu sesak dengan penduduk.
“Rakan kemanusiaan kami menegaskan halangan utama ialah sekatan akses ke 65 peratus kawasan daratan Gaza. Baki 35 peratus sudah sesak,” katanya pada taklimat media, lapor Anadolu.
Perkembangan itu berlaku ketika Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) dan kumpulan rakan kerjasama sedang menilai langkah kecemasan bagi melindungi penduduk daripada hujan lebat dan banjir pada musim sejuk.
Pasukan bantuan turut memeriksa tiga lokasi yang berpotensi dijadikan kawasan penempatan sementara bagi keluarga yang memilih meninggalkan kawasan berisiko banjir berhampiran runtuhan struktur yang boleh roboh.
Pada masa sama, pasukan kemanusiaan sedang menilai keadaan lebih 450 kem perpindahan yang berdepan risiko banjir serius dan menempatkan kira-kira satu perlima penduduk Gaza.
Dujarric berkata, perpindahan penduduk secara sukarela dalam jumlah besar memerlukan persiapan menyeluruh sebelum dapat dilaksanakan.
Antara persiapan itu termasuk membersihkan sisa bahan letupan di lokasi baharu yang dikenal pasti sebelum penduduk boleh dipindahkan.
Pasukan bantuan juga perlu meratakan kawasan berpasir, memasang saluran air, sistem saliran dan lampu, selain membuka jalan masuk ke lokasi berkenaan.
Isu berkaitan hak milik tanah turut perlu diselesaikan sebelum kawasan terbabit boleh digunakan sebagai penempatan sementara.
Pertubuhan bantuan turut berdepan kekangan logistik serius akibat sekatan kemasukan.
Dujarric berkata agensi bantuan amat memerlukan permit tambahan daripada Israel bagi membawa masuk jentera berat, alat ganti, minyak enjin dan bekalan penting, selain dana untuk bahan api kecemasan serta bahan tahan lama bagi membaiki struktur yang rosak.
Kekangan operasi itu turut menjejaskan penyampaian perkhidmatan kesihatan. Ketika petugas bantuan melatih tenaga kerja tempatan untuk mengendalikan kes penyakit tidak berjangkit, kekurangan bekalan perubatan terus mengehadkan usaha saringan dan rawatan.
Menurut Dujarric, kekurangan kritikal masih berlaku dalam rawatan kanser khusus, termasuk bekalan penting untuk kemoterapi dan radioterapi. Sistem diagnostik turut terjejas akibat kekurangan bahan api untuk generator serta alat ganti mesin.
Sejak 8 Oktober 2023, perang Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 74,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 175,000 yang lain, manakala 90 peratus infrastruktur di wilayah itu musnah.
Kementerian Kesihatan Gaza pada Rabu berkata pelanggaran Israel terhadap perjanjian gencatan senjata Oktober 2025 menyebabkan 1,431 rakyat Palestin terbunuh dan 5,026 lagi cedera.











