292 aset Malbatt bernilai RM40.85 juta diserah kepada Lubnan

292 aset Malbatt bernilai RM40.85 juta diserah kepada Lubnan

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 292 aset Malaysian Battalion (Malbatt) bernilai kira-kira AS$10 juta (RM40.85 juta) akan diserahkan secara berperingkat kepada Angkatan Pertahanan Lubnan (LAF), susulan proses pengunduran kontinjen negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyerahan membabitkan kenderaan serta pelbagai kelengkapan yang pernah digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang misi di sana.

Beliau berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada proses pelupusan dan pengunduran berfasa yang dijangka berakhir sehingga Januari 2027.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai sebahagian daripada proses pengunduran, sebahagian aset Malbatt akan dibawa pulang ke Malaysia, dilupuskan di Lubnan dan sebahagiannya diserahkan kepada LAF.

“Penyerahan aset ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada LAF dan masyarakat setempat, terutamanya dalam aspek kebajikan, bantuan kemanusiaan serta mengekalkan keamanan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Penyerahan aset disempurnakan secara simbolik oleh Panglima Angkatan Bersama (PAB), Leftenan Jeneral Datuk Seri Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim kepada wakil LAF, Brigedier Jeneral Bassem Saad.

Pengunduran kontinjen Malbatt 850-13 yang merupakan kontinjen terakhir Malaysia di bawah Misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) menandakan penutup kepada pembabitan hampir dua dekad ATM dalam misi pengaman di selatan Lubnan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×