PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak menutup ruang untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti, termasuk Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat berkata, sebarang bentuk kerjasama dengan BN masih dalam proses perbincangan dan keputusan akhir akan dibuat kepimpinan di peringkat nasional.
Beliau berkata, PH Melaka pada dasarnya bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang dilihat mempunyai keserasian dengan prinsip perjuangan parti.
“Dengan BN ini masih lagi dalam proses. Kita tunggulah keputusan kerana perkara itu tidak dibuat di Melaka, sebaliknya akan dibuat di peringkat nasional.
“Bagi Amanah Melaka, kami terbuka dengan mana-mana pihak. Kami ada pengalaman bekerjasama dengan semua pihak, jadi sebenarnya tidak kekok untuk kami bersama-sama dengan mana-mana pihak yang mahu bekerjasama.
“Kalau mereka hulur tangan, kita tengok nanti apa syaratnya dan apa bentuk kerjasama. Benda-benda itu semua belum dibincangkan lagi. Setakat ini bagi Amanah Melaka, kami terbuka saja (dengan Bersatu). Tidak ada masalah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, PH tidak akan bersama dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka.
Beliau berkata, perkara itu sudah diputuskan PH dan setakat ini, gabungan itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti lain, kecuali BN dan Perikatan Nasional (PN).
Mengulas kenyataan Khalid, Ashraf Mukhlis menyifatkan perkara itu sebagai pandangan peribadi.
“Itu pandangan dia secara peribadi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ashraf Mukhlis berkata, Amanah Melaka sudah menyelesaikan persiapan bagi menghadapi PRN Melaka termasuk mengenal pasti calon untuk kerusi yang akan ditandingi.
Katanya, perbincangan pembahagian kerusi bersama PH juga sudah diselesaikan, manakala nama calon telah dihantar kepada kepimpinan nasional untuk mendapatkan kelulusan.
“Kami sudah siap persiapan untuk kerusi-kerusi yang kami mahu tandingi. Dengan PH kami sudah selesaikan perbincangan untuk bertanding.
“Kami sedang bergerak membuat persiapan di setiap tempat yang kami mahu tandingi. Nama calon semua sudah dihantar di peringkat nasional, cuma tunggu kelulusan. Selepas diluluskan, kami buat pengisytiharan.
“Dalam PH kami dapat lapan. Untuk sasaran lapan kerusi, itu nanti bergantung kepada perbincangan-perbincangan lanjut selepas ini dan apa yang dimuktamadkan dalam PH.
“Mungkin ada perbincangan dengan pihak lain dan sebagainya, itu nanti kami akan buat pengumuman,” katanya.-UTUSAN.











