PETALING JAYA: Rapat Hip Hop Fest bakal menghimpunkan 100 penyanyi rap tempatan daripada pelbagai era, negeri dan bahasa menerusi segmen The National Cypher di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil, 24 Oktober ini.
Dianjurkan Ceoman Entertainment, festival sehari itu membawa konsep When Underground Takes The National Stadium dengan menghimpunkan penggiat hip hop underground, artis arus perdana dan peminat budaya urban dalam satu acara.
Penganjur Acara, Sherman Heng berkata, RAPAT diwujudkan bagi merapatkan jurang antara perintis hip hop atau OGs dengan bakat baharu, selain menyatukan masyarakat menerusi muzik dan budaya jalanan.
“RAPAT bermula dengan satu soalan mudah di mana boleh atau tidak Hip Hop tempatan memenuhkan Stadium Nasional?
“Malaysia mempunyai budaya Hip Hop yang amat kukuh, namun sekian lama ia bergerak sendirian di ruang underground.
“Sudah tiba masa untuk kami membawa bakat hebat ini ke stadium terbesar negara dan membuktikan nilai komersial serta potensi sebenar bakat tempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain The National Cypher, festival berkenaan turut menampilkan barisan artis fasa pertama membabitkan Bunga, Forceparkbois dan K-Clique.
Sherman berkata, barisan berkenaan menggambarkan kepelbagaian arena hip hop tempatan menerusi gabungan artis arus perdana dan bakat baharu.

Festival yang berlangsung dari 11 pagi hingga 11 malam itu turut menampilkan lima zon pengalaman iaitu The Main Stage, The Underground, The Street, The Market dan The Flavour/Rapat Bazaar.
The Underground menampilkan aksi battle, freestyle dan cypher, manakala The Street mengetengahkan breakdance, papan selaju serta sukan jalanan. The Market pula memberi ruang kepada jenama streetwear tempatan dan budaya sneakers.
Bagi Rapat Bazaar, ia berlangsung selama tiga hari dari 23 hingga 25 Oktober di Parking C, manakala tiket Rapat Geng ditawarkan pada harga RM99.
Tiket rasmi mula dijual 28 September menerusi laman web maiseat dan ticket2u, manakala barisan artis fasa seterusnya serta penggiat underground akan diumumkan dari semasa ke semasa.











