PUTRAJAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tujuh tahun yang ditemui berkeliaran tanpa penjaga di Terminal Putrajaya Sentral, pagi tadi selamat diserahkan kepada warisnya, tengah hari tadi.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi memberitahu, pihaknya berjaya menghubungi waris kanak-kanak itu dan mangsa telah diserahkan sekitar 12 tengah hari tadi.
“Siasatan awal mendapati, mangsa dikatakan menaiki tren MRT dari Stesen Putra Permai, Seri Kembangan seorang diri sebelum turun di stesen MRT Putrajaya.
“Kanak-kanak ini tinggal dengan nenek dia di Putra Permai dan keluar mencari ibunya yang menetap di Pandan Jaya,” katanya.
Sebelum ini, tular mengenai hantaran di Threads memaparkan maklumat penemuan seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tujuh hingga lapan tahun di Terminal Putrajaya Sentral seorang diri tanpa penjaga.
Ketika ditemui, kanak-kanak yang dikenali sebagai Usup itu ditemui dengan keadaan menggalas beg berwarna merah tanpa arah tuju sebelum ditemui petugas terminal. – UTISAN











