NEW YORK: Kumpulan penyelidik mendedahkan dua spesies burung baharu yang kini menjadi pesaing utama bagi gelaran burung paling bising di dunia dengan kekuatan bunyinya menyamai mesin gerudi tanah.
Penemuan oleh saintis dari Universiti Massachusetts Amherst itu mendapati burung bare-throated bellbird dan seriema berkaki merah mampu menghasilkan nyanyian pada julat amplitud melebihi 120 desibel. Dapatan kajian berkenaan diterbitkan secara rasmi dalam jurnal sains tempatan, Evolution pada Selasa.
Ahli biologi evolusi yang juga pengarang bersama kajian, Joao C.T. Menezes memberitahu CNN, perbandingan bunyi harian yang paling dekat dengan kelantangan suara burung berkenaan ialah deruman mesin gerudi tanah.
Kekuatan bunyi kedua-dua spesies itu kini bersaing rapat dengan burung bellbird putih yang didapati menghasilkan jeritan sehingga 125 desibel pada 2019 dan dinobatkan oleh Rekod Dunia Guinness sebagai burung bersuara paling kuat di dunia.
Tekanan bunyi tersebut dianggarkan 800 kali ganda lebih kuat berbanding spesies burung paling senyap yang direkodkan, iaitu dusky hermit yang hanya mencatatkan bunyi 64.1 desibel.
Bagaimanapun, persoalan mengenai spesies mana yang benar-benar memegang gelaran burung paling bising di dunia sebenarnya bergantung kepada kriteria pengukuran yang digunakan.
Sebagai contoh, seekor burung bare-throated bellbird secara individu mencatatkan rekod jeritan paling kuat berbanding burung lain apabila suaranya mencecah tahap kemuncak hampir 131 desibel dari jarak satu meter.
Namun, jika julat purata diambil daripada panggilan paling bising membabitkan kesemua spesies yang dikaji, burung seriema berkaki merah menjadi yang paling lantang pada tahap hampir 121 desibel.
Sebaliknya, jika ukuran dibuat berdasarkan purata kelantangan kemuncak pada bila-bila masa, burung bellbird putih kekal berada di tangga teratas dengan bacaan 127 desibel daripada enam ekor burung yang diuji.











