SEJAK mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Malaysia telah meniti usia 69 tahun dengan pelbagai pencapaian sosioekonomi yang membanggakan.
Daripada sebuah negara berteraskan komoditi bijih timah dan getah, tanah air tercinta kini berkembang sebagai hab perindustrian, perkhidmatan, dan teknologi berpendapatan tinggi.
Jaringan lebuh raya, mercu tanda pencakar langit, serta kejayaan modal insan di persada antarabangsa menjadi saksi kemajuan fizikal negara.
Namun, di sebalik kemodenan material ini, timbul persoalan yang menjadi “api dalam sekam”: Adakah pembinaan watak dan moral bangsa bergerak seiring dengan kepesatan fizikal negara?
Hakikatnya, tahap integriti masyarakat Malaysia hari ini berada pada fasa transisi yang kritikal. Di satu sudut, terdapat petanda pemulihan positif menerusi reformasi institusi.
Peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ke tangga ke-54 dunia dengan skor 52 mata mencerminkan iltizam politik serta penguatkuasaan lebih tegas.
Pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS), Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) serta pengenalan berbagai akta dan peraturan turut mengukuhkan tatakelola negara.
Namun, realiti di lapangan menunjukkan budaya integriti belum sepenuhnya sebati sebagai amalan kebiasaan (social norm). Isu salah guna kuasa, penyelewengan perolehan, dan amalan “duit kopi” berskala kecil (petty corruption) masih berakar dalam semua sektor masyarakat.
Pelanggaran undang-undang jalan raya, penyalahgunaan kemudahan awam, serta penyebaran maklumat palsu membuktikan bahawa krisis integriti tidak boleh diselesaikan menerusi pendekatan hukuman (punitif) semata-mata.
Perisai Jiwa Menerusi NIES
Bagi merawat akar umbi masalah ini, kerajaan telah melancarkan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) pada 13 Jun 2026 yang lalu.
Sekiranya NACS berfungsi sebagai “pedang penguatkuasaan” yang menghukum pesalah, NIES bertindak sebagai “perisai jiwa” untuk membina ketahanan moral masyarakat.
Relevansi NIES terbukti menerusi empat pendekatan utama, pertama pendekatan serampang dua mata: Mengimbangi tindakan undang-undang dengan pembinaan nilai etika dalam jiwa dan hati masyarakat.
Kedua, mengubah norma sosial: Merangka strategi pendidikan dan kempen media bagi memulihkan sikap apati masyarakat terhadap kesalahan kecil.
Ketiga, penjajaran abad ke-21: Menterjemah semula Pelan Integriti Nasional (PIN) terdahulu bagi mendepani cabaran integriti digital dan tadbir urus korporat (ESG) dan keempat, sinergi merentasi sektor: Menggabungkan sektor awam, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan masyarakat sivil untuk bergerak seirama memperjuangkan integriti menjadi darah dan daging yang membentuk kelangsungan negara.
Teras Pendidikan: Titah Diraja
Isu jurang antara dasar dan realiti turut mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Semasa merasmikan Sambutan Hari Integriti Nasional 2025, baginda bertitah bahawa pembinaan negara berintegriti menuntut penekanan mutlak kepada sistem pendidikan.
Penekanan baginda membawa empat mesej penting:
- Vaksin Imuniti Moral: Integriti perlu dipupuk sejak awal persekolahan sebelum generasi muda terdedah kepada pengaruh negatif luar.
- Imbangan Akademik dan Sahsiah: Kecemerlangan intelek tanpa paksi etika hanya melahirkan individu bijak yang memanipulasi undang-undang.
- Peranan Teladan (Role Model): Pendidikan etika paling berkesan berlaku menerusi amalan dan teladan harian guru, ibu bapa, serta pimpinan masyarakat.
- Pencegahan Jangka Panjang: Pelaburan dalam pendidikan integriti adalah langkah paling mampan untuk membendung rasuah sebelum ia bertunas.
Langkah Praktikal: Modul Integriti Kanak-Kanak (MIKa)
Menjunjung titah tuanku, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengambil langkah proaktif melancarkan Modul Integriti Kanak-Kanak (MIKa) yang disempurnakan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada 27 Ogos 2026 yang lalu.
MIKa memperkasakan pembentukan karakter seawal usia pembentukan (formative years) menerusi pendekatan berasaskan bukti, bukan perancangan semata-mata.
MIKa memberikan tumpuan kepada psikologi perkembangan: Menyuntik nilai kejujuran dan kebertanggungjawaban pada usia tiga hingga enam tahun semasa minda kanak-kanak mudah menyerap nilai murni.
Dimurnikan dengan Metodologi Didik Hibur (Play-Based Learning): Mengaplikasikan penceritaan, simulasi dan permainan berasaskan sebab-akibat untuk memahami konsep moral secara santai.
Adalah menjadi harapan supaya MIKa akan dapat memberikan kesan limpahan (spillover effect): Kanak-kanak bertindak sebagai “duta kecil integriti” yang memberi peringatan halus (nudge) kepada ibu bapa di rumah.
Penerimaan dan penghayatan nilai integriti adalah secara pematuhan sukarela (Voluntary Compliance): Melahirkan warganegara yang patuh kepada undang-undang berasaskan dorongan moral dari dalam diri, bukan kerana takutkan hukuman.
Membina Malaysia Bermaruah
Di usia kemerdekaan ke-69 tahun, kekuatan negara tidak hanya diukur pada pendapatan per kapita atau kehebatan infrastruktur, tetapi pada nilai moral warganegaranya.
Gabungan NACS, NIES, serta pelaksanaan MIKa oleh IIM membentuk ekosistem pembudayaan etika yang komprehensif. Usaha ini memerlukan iltizam, kesabaran, dan pengorbanan merentas generasi.
Dengan menyemai benih etika sejak dari usia prasekolah, kita sedang membina akar yang kukuh agar pohon integriti negara terus berdiri teguh memukul badai penyelewengan demi mewariskan Malaysia yang bermaruah kepada generasi akan datang. – UTUSAN
MOHD. Rais Ramli ialah Pengarah, Pusat Integriti Sektor Perniagaan dan Awam, Institut Integriti Malaysia (IIM).











