KUALA TERENGGANU: EPIC Berhad (EPIC) dan anak syarikatnya, PBK Logistics Sdn. Bhd. mencipta pencapaian berganda apabila masing-masing merangkul Anugerah Majikan Terbaik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2026 pada majlis yang berlangsung di Royale Chulan Cherating, Pahang, kelmarin.
Kedua-dua syarikat berkenaan adalah antara lima majikan yang menerima pengiktirafan dalam kalangan lebih 4,000 majikan berdaftar di Kemaman berdasarkan tahap pelaksanaan tanggungjawab majikan serta penglibatan aktif dalam pelbagai inisiatif KWSP.
Antara kriteria penilaian adalah rekod caruman berkanun yang teratur, penggunaan kemudahan caruman sukarela seperti i-Topup dan Auto Simpan selain penglibatan dalam program libat urus celik kewangan menerusi sesi taklimat serta penyediaan kaunter bergerak KWSP.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan pelaksanaan amalan pengurusan tenaga kerja yang tersusun di semua peringkat organisasi.
“Tanggungjawab majikan bukan sahaja tertumpu kepada pematuhan terhadap keperluan yang ditetapkan tetapi merangkumi penyediaan kemudahan dan akses kepada maklumat yang menyokong pengurusan simpanan persaraan pekerja.
“Ini adalah sebahagian daripada amalan pengurusan sumber manusia yang perlu dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan kepentingan pekerja terus diurus dengan sewajarnya,” katanya.
Anugerah disampaikan Ketua Kecemerlangan Operasi, Pejabat Wilayah Timur, KWSP, Uzi Mohd. Nor.
Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada Kumpulan EPIC, PBK Logistics Sdn. Bhd. dan anak-anak syarikat lain mengambil pendekatan sistematik dalam urusan berkaitan pekerja bagi mengekalkan tenaga kerja yang berkebolehan dan produktif.
Katanya, pendekatan itu pada masa sama menyokong keperluan operasi serta kesinambungan perniagaan kumpulan secara keseluruhan. – UTUSAN











