WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memperkenalkan laman sesawang berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang disasarkan menjadi saluran pertama bagi rakyatnya mendapatkan akses kepada perkhidmatan kerajaan persekutuan, sambil menyifatkan inisiatif itu sebagai satu pembaharuan.
Platform America.gov dibangunkan di bawah kendalian pengasas bersama Airbnb, Joe Gebbia yang menyertai pentadbiran Trump tahun lalu dalam jawatan baharu sebagai ketua pegawai reka bentuk.
Seperti laman sesawang lain yang menggunakan chatbot berkuasa AI, pengguna boleh menaip pertanyaan dan berinteraksi dengan sistem berkenaan secara dalam talian.
Walaupun fungsinya ketika ini masih terhad, Trump berkata, America.gov akhirnya akan mampu mengendalikan pelbagai urusan rumit berkaitan kerajaan, termasuk membuat permohonan pasport baharu atau mendapatkan manfaat kesihatan dan persaraan.
“Kami menjadikannya jauh lebih mudah, pantas dan selesa untuk mendapatkan apa yang anda perlukan tepat pada masanya.
“Ini ialah usaha mengembalikan janji asas yang menjadi tunjang penubuhan Amerika dan melakukan pembaharuan terhadap kerajaan anda untuk abad ke-21 dan seterusnya,” kata Trump pada majlis pelancaran platform itu di Washington yang dihadiri pegawai kanan kerajaan.
Presiden itu turut menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan semua agensi kerajaan mengintegrasikan laman sesawang mereka dengan America.gov.
Pelancaran platform baharu kerajaan AS itu berlangsung pada hari sama Trump dijadual bertemu beberapa eksekutif kanan syarikat teknologi bagi membincangkan perkembangan pesat sektor AI.
Senarai insiden siber yang semakin bertambah dan didedahkan sejak beberapa minggu kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan di seluruh dunia mengenai risiko yang ditimbulkan AI yang tidak dapat dikawal, dengan beberapa eksekutif menggesa supaya pembangunan teknologi itu diperlahankan atas faktor keselamatan.
Trump menolak kebimbangan berkenaan sebagai satu konspirasi untuk menjejaskan pertumbuhan ekonomi AS dan menghalang persaingan dengan China.
Dalam pada itu, Trump, turut kongsikan salinan satu perjanjian mengenai keselamatan AI di platform Truth Social, yang menurutnya ia ditandatangani bersama beberapa eksekutif terkemuka industri teknologi, lapor Anadolu Ajansi.
Perjanjian itu menggariskan komitmen bersama untuk memperkukuhkan langkah keselamatan dalam pembangunan dan penggunaan sistem AI termaju.
Perjanjian Rumah Putih mengenai ‘super intelligence’ atau kecerdasan super dikenali sebagai ‘Joint Commitment on Frontier Responsibilities’ itu menggesa syarikat yang membangun serta menggunakan model AI termaju supaya mewujudkan proses dalaman dan mekanisme kawalan yang kukuh.
Langkah itu bertujuan memastikan sistem AI beroperasi sebagaimana dimaksudkan, selain membolehkan sebarang masalah dikenal pasti serta ditangani dengan segera.
Trump turut menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan kerajaan persekutuan menggantikan istilah AI dengan ‘super intelligence’ atau ‘SI’ dalam komunikasi rasmi cabang eksekutif.
Melalui perintah itu, jabatan dan agensi persekutuan diarah menggunakan istilah ‘super intelligence’ dan ‘SI’ dalam surat-menyurat rasmi, komunikasi awam, dokumen dasar serta bahan lain yang tidak bersifat perundangan.
Agensi berkenaan turut diarah tidak lagi menggunakan istilah AI dalam bahan terbabit.
Perintah itu juga mengarahkan Pembantu Presiden bagi Sains dan Teknologi menyediakan cadangan definisi persekutuan bagi ‘super intelligence’ dan ‘SI’ yang mencerminkan ‘sempadan teknologi yang terus berkembang’.
AI dan perkembangan pesat pembinaan pusat data kini menjadi isu penting dalam pilihan raya pertengahan penggal AS pada November.
Tinjauan pendapat terbaru yang diterbitkan CNN menunjukkan 82 peratus rakyat AS menyatakan kebimbangan terhadap kadar perkembangan AI.











