BUDAPEST: Parlimen Hungary menarik balik kekebalan Perdana Menteri, Peter Magyar dan dua bekas menteri di bawah bekas pemimpin nasionalis, Viktor Orban, bagi membolehkan mereka disiasat dalam kes jenayah berasingan.
Siasatan terhadap dua bekas menteri era Orban yang disyaki terbabit dalam kes rasuah membabitkan jutaan euro itu adalah siasatan pertama terhadap tokoh kanan kerajaan berhubung rasuah sepanjang 16 tahun pemerintahan lama.
Magyar, yang disiasat secara berasingan atas dakwaan mencuri, secara khusus meminta supaya kekebalannya ditarik balik.
Ia bagi membolehkan beliau membersihkan namanya daripada apa yang disifatkannya sebagai ‘pembunuhan karakter’.
Parlimen mengundi dengan majoriti besar untuk menarik balik kekebalan Magyar dan bekas menteri kebudayaan, Balazs Hanko dan bekas menteri pembangunan, Miklos Sesztak.
Parti Fidesz pimpinan Orban dan sekutunya, KDNP, memboikot persidangan itu.
Pengundian itu dibuat susulan permintaan pendakwa raya minggu lalu untuk menyiasat ketiga-tiga mereka.
Dalam kes membabitkan Magyar, pendakwa raya mendakwa beliau merampas telefon seorang lelaki yang merakamnya di sebuah kelab malam pada 2024 sebelum mencampakkannya ke Sungai Danube.
Magyar menyifatkan kes itu sebagai ‘rekaan’ dan menuduh pendakwa raya cuba menggabungkan kes bekas menteri berkenaan dengan cubaan membunuh karakter secara politik yang sudah beberapa kali gagal.
Magyar, yang memimpin parti Tisza meraih kemenangan besar pada April. Beliau berjanji untuk menyiasat dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sepanjang 16 tahun pemerintahan Orban. Magyar berkata, beliau mahu memansuhkan sepenuhnya kekebalan anggota Parlimen bagi kesalahan jenayah yang didakwa di mahkamah awam.
Hanko, anggota Parlimen daripada parti Fidesz pimpinan Orban, dituduh menyeleweng lebih 40 juta euro (RM185.55 juta) dana awam. Pendakwa raya mendakwa wang itu digunakan untuk membantu membiayai kempen pilihan raya Parlimen 2026 danmemberi manfaat kepada individu tertentu.
Pada Julai lalu, pihak berkuasa merampas pelayan komputer milik Fidesz berkaitan kes berkenaan, menyebabkan Orban menuduh pihak berkuasa menjalankan siasatan rekaan untuk menjadikan parti itu tidak lagi berdaya dari segi undang-undang.
Dalam kes berasingan, Sesztak, anggota Parlimen daripada sekutu Fidesz, KDNP disiasat kerana didakwa menerima rasuah bernilai jutaan euro ketika menjadi menteri pembangunan negara antara 2014 hingga 2018. Kes itu berkaitan pembelian bas terpakai pada harga yang dinaikkan.
Kedua-dua bekas menteri era Orban itu menafikan sebarang salah laku.
Selain menarik balik kekebalan, anggota Parlimen pada Isnin turut mengundi dengan majoriti besar untuk menolak pencalonan Presiden, Andras Baka bagi jawatan pendakwa raya utama yang baharu.
Baka mencalonkan pendakwa raya jenayah siber, Zoltan Szathmary untuk jawatan itu. Namun, Magyar mempersoalkan kemampuan Szathmary untuk memulihkan keyakinan awam terhadap perkhidmatan pendakwaan dan menjamin kebebasannya.
Baka memberitahu Parlimen selepas pengundian beliau akan mencalonkan calon baharu bagi melaksanakan pembaharuan yang diperlukan dalam perkhidmatan pendakwaan . – AFP











