Malucelli kembali ‘mengganas’

Malucelli kembali ‘mengganas’

Pelumba XDS Astana Team, Matteo Malucelli (kanan) meraikan kemenangan peringkat ketiga laluan Sungai Petani-Kuala Kangsar pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 di Dataran Pavilion Kuala Kangsar, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Matteo Malucelli bangkit dengan penuh bergaya apabila kembali menemui sentuhan kemenangan pada Peringkat 3 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26), semalam.

Pelumba XDS Astana Team itu membuktikan kehebatannya dalam pecutan kelompok apabila muncul juara selepas mengharungi laluan sejauh 189.7 kilometer (km) dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar dengan catatan 4 jam 31 minit 59 saat.

Malucelli menampilkan pecutan bertenaga pada penghujung perlumbaan menewaskan Riley Pickrell daripada Modern Adventure Pro Cycling dan Sepp Van den Boer (Tudor Pro Cycling Team) yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan ketiga, masing-masing dengan catatan masa sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kemenangan kedua Malucelli dalam LTdL26 itu turut memberikan tambahan 25 mata keseluruhan, merangkumi 10 mata bonus dan 15 mata klasifikasi peringkat, sekali gus mengukuhkan cengkamannya dalam perebutan jersi biru.

Pelumba Itali itu kini mengumpul 32 mata untuk terus menerajui klasifikasi Raja Pecut, meninggalkan Pickrell dengan 24 mata dan Van den Boer yang mengumpul 14 mata.

“Saya akan cuba memenangi sebanyak mungkin peringkat perlumbaan untuk merampas semula jersi Raja Pecut (biru) dalam saingan LTdL26,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Sementara itu, Izzat Hilmi Abdul Halil daripada Malaysia Pro Cycling (MPC) tampil cemerlang apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima, selain muncul pelumba Asia terbaik bagi Peringkat 3.

Dalam perebutan jersi jingga, Lennart Jasch daripada Tudor Pro Cycling Team kekal sebagai pendahulu keseluruhan dengan catatan 12 jam 16 minit 3 saat.

Pelumba Caja Rural-Seguros RGA, Abel Balderstone mengekori di tempat kedua dengan defisit 20 saat, manakala Jorge Castellon yang juga daripada pasukan sama berada di kedudukan ketiga, ketinggalan 38 saat.

Persaingan jersi putih turut kekal sengit apabila Todome Yuhi Todome daripada Asian Racing Team mengungguli klasifikasi pelumba terbaik Asia dengan catatan 12:21:03.

Kee Zhe Yie daripada Terengganu Cycling Team (TSG) berada di tempat kedua dengan 12:21:18, manakala Tsen Ren Bao (St George Continental Cycling) di tempat ketiga dengan 12:21:42.

Jasch turut mempertahankan jersi Raja Bukit selepas mengumpul 15 mata, manakala Aiman Zariff (TSG) terus mengintai peluang di tempat kedua dengan 14 mata.

Cabaran lebih getir menanti pelumba pada Peringkat 4 hair ini apabila mereka perlu menempuh perjalanan 142.3km dari Meru Raya ke Cameron Highlands.

Tiga zon pecutan di Gopeng, Kampar dan Tapah menanti peloton sebelum perlumbaan berakhir dengan pendakian berstatus Kategori Hors (HC) menuju Tanah Rata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×