RANTAU PANJANG: Aktiviti pelancongan rentas sempadan kembali rancak apabila rakyat Malaysia mengambil peluang bercuti ke Thailand sempena cuti Hari Keputeraan Sultan Kelantan yang bermula semalam.
Situasi itu menyebabkan pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang sesak sehingga 300 meter.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, van persiaran dan kenderaan mula memasuki ICQS Rantau Panjang seawal pukul 7 pagi dengan aliran pelancong terus bertambah menjelang tengah hari.
Keadaan itu turut menggambarkan pergerakan semula pelancong Malaysia ke destinasi di selatan Thailand selepas hampir sebulan suasana di pintu sempadan berkenaan lengang berikutan kejadian letupan bom di tiga wilayah di negara berkenaan.
Seorang pelancong, Nur Aliana Yakoob, 28, berkata, dia tidak menyangka pintu sempadan kembali meriah selepas rata-rata penduduk menangguhkan perjalanan kerana bimbang dengan situasi keselamatan di negara berkenaan.
“Pintu sempadan kembali sesak selepas hampir sebulan lengang disebabkan kejadian letupan bom di tiga wilayah di Thailand. Saya juga terpaksa tangguhkan perjalanan sebelum ini kerana takut dan akhirnya masuk kembali ke Thailand kerana kejadian letupan bom sudah reda,” katanya.
Nur Aliana berkata, kesesakan sehingga kira-kira 300 meter bukan perkara baharu setiap kali musim cuti, namun dia tetap memilih berdepan keadaan itu semata-mata mahu bercuti ke Thailand.
“Terpaksa hadap kesesakan hari ini semata-mata mahu bercuti ke Thailand,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Ikwan Muhammad, 30, berkata, dia bersama rakan sekerja memasuki Thailand untuk bercuti ke Hatyai dengan menaiki van manakala pemandu pelancong menunggu mereka di Imigresen Golok.
Katanya, dia menjangkakan pintu sempadan tidak sesak berikutan situasi tegang di tiga wilayah selain banjir di Bangkok namun sebaliknya berlaku.
“Saya jangkakan pintu sempadan lenggang berikutan situasi tegang di tiga wilayah dan banjir di Bangkok. Tetapi tidak menyangka ia sesak tetapi saya tidak perlu beratur menunggu giliran kerana ke Thailand menaiki van pelancong,” ujarnya.
Mohd. Ikhwan berkata, dia sentiasa mengikuti perkembangan semasa situasi di Thailand, terutama berkaitan kejadian banjir di Bangkok.
Katanya, lokasi percutiannya di Hatyai selamat dan tidak dilanda banjir. – UTUSAN











