Bersatu tidak boleh bergerak solo - Faizal Azumu

Bersatu tidak boleh bergerak solo – Faizal Azumu

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh bergerak secara bersendirian dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan memerlukan kerjasama dengan parti politik lain.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu menyedari pengalaman bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebelum ini boleh memberi kesan sama jika pendekatan sama diteruskan di Melaka.

Katanya, Bersatu kini terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak bagi mencari bentuk kerjasama yang sesuai untuk menghadapi PRN berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bersatu memang sedar untuk pergi solo akan kembali mendatangkan keputusan sama di Negeri Sembilan. Itu kita akui, tetapi kita masih terbuka dari segi perbincangan untuk mendapatkan kerjasama dengan mana-mana pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Bersatu mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) Melaka dalam satu jamuan makan malam tertutup sempena program Pra PRN Melaa.

Pertemuan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah itu dihadiri antaranya Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Pengarah Pilihan Raya Melaka yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad; Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Sri R Sanjeevan dan Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, pertemuan berkenaan belum menghasilkan sebarang keputusan muktamad berhubung bentuk kerjasama atau pembahagian kerusi.

Katanya, pertemuan itu lebih kepada menilai kecenderungan parti-parti yang terlibat sama ada mempunyai aspirasi dan hala tuju yang boleh disatukan bagi menghadapi PRN Melaka.

“Ini untuk menilai sama ada boleh dapatkan kecenderungan ke arah perkara yang sama, namun akhir perjumpaan tidak ada kata putus dapat dibuat,” katanya.

Katanya lagi, rundingan tersebut masih di peringkat awal dan belum boleh dianggap sebagai persetujuan membentuk gabungan.

Sebelum ini, Ahmad Faizal sendiri mengakui Bersatu memerlukan gabungan bagi menghadapi PRN Melaka kerana kekuatan bahagian parti itu di negeri berkenaan belum mencukupi untuk bergerak sendirian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×