Isu kargo K8: Maritime Network mahu pendirian MOF, Kastam direkodkan - Utusan Malaysia

Isu kargo K8: Maritime Network mahu pendirian MOF, Kastam direkodkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Maritime Network Sdn Bhd mahu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memberikan penjelasan bertulis berhubung pengendalian kargo Atlanta crude yang dipunggah di Tanjung Langsat, Johor, di bawah pengikraran K8.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network, Datuk Seri R. Jeyenderan berkata, ini kerana Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan tiada implikasi duti terhadap kargo berkenaan berdasarkan perkara yang dibentangkan.

Beliau turut meminta JKDM menjelaskan secara berasingan bagaimana kargo yang dibawa masuk di bawah K8 kemudiannya dipindahkan kepada pihak lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kedua-dua perkara itu perlu direkodkan secara bertulis sebelum syarikat dapat menyelesaikan fail pematuhannya.

“Sekiranya pendirian MOF ialah tiada duti perlu dibayar, kami memohon supaya peruntukan undang-undang, pengecualian dan asas fakta yang membawa kepada kesimpulan itu dinyatakan.

“Kami akan menghormati jawapan yang berasas. Namun, kesimpulan secara lisan tidak dapat menjelaskan kepada ejen perkapalan dokumen yang menyokong pemindahan kargo, pengikraran yang menutup pergerakan tersebut atau mengapa ejen berkenaan dikenakan kompaun,” katanya.

Gesaan itu dibuat susulan perbincangan dengan MOF pada 25 September mengenai isu duti dan pergerakan kargo berkenaan.

Perbincangan itu dipengerusikan Setiausaha Bahagian Cukai MOF, Datuk John Patrick Antonysamy dan turut dihadiri pegawai JKDM.

Menurut Jeyenderan, kedua-dua kargo itu mempunyai nilai diisytiharkan lebih RM220 juta, namun angka tersebut merujuk kepada nilai kargo yang diisytiharkan dan bukan anggaran cukai yang belum dibayar.

Maritime Network berkata, satu dokumen K8 yang dibincangkan dalam mesyuarat itu turut ditafsirkan secara berbeza oleh pihak yang hadir.

Dalam masa sama, Maritime Network menegaskan pihaknya tidak mendakwa pengikraran keluar palsu telah dibuktikan, sebaliknya memohon semakan berasingan terhadap kompaun yang didakwa dikenakan berkaitan dokumentasi manifes.

Syarikat itu mahu JKDM menyatakan dengan tepat kesalahan atau kecuaian yang didakwa berlaku, mengapa tanggungjawab berkenaan dikenakan terhadap syarikat serta saluran semakan yang tersedia.

“Ini bukan permintaan untuk mengisytiharkan seseorang bersalah. Ia adalah permintaan supaya peraturan yang mengawal serta rekod urus niaga dikemukakan.

“Jika proses itu dibenarkan dan tiada cukai perlu dibayar, nyatakan alasan tersebut secara bertulis. Jika sesuatu pengikraran perlu diperbetulkan, nyatakan apa yang perlu diperbetulkan dan oleh siapa.

“Semua pihak dalam industri memerlukan jawapan yang boleh dijadikan panduan,” katanya.

Maritime Network berkata pihaknya akan meneliti dan melaporkan secara adil sebarang maklum balas substantif secara bertulis daripada MOF atau JKDM.

Sehingga berita ini ditulis, syarikat itu berkata pihaknya masih belum menerima penentuan rasmi secara bertulis berhubung perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×