Ekonomi halal berkembang melangkaui makanan, buka peluang pasaran baharu - Utusan Malaysia

Ekonomi halal berkembang melangkaui makanan, buka peluang pasaran baharu

SUSAN Cheah (tengah) bergambar selepas Sidang Media Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia ke-21 (MIBS 2026) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perkembangan ekonomi halal yang kini merangkumi sektor lebih luas seperti kesihatan, kosmetik, farmaseutikal, logistik dan perkhidmatan membuka ruang lebih besar kepada syarikat Malaysia untuk meneroka pasaran antarabangsa.

Rakan Strategik Malaysia International Halal Academy (MIHA), Datuk Zainal Abidin Jaafar berkata, perkembangan itu menunjukkan halal tidak lagi terhad kepada industri makanan dan minuman, sebaliknya semakin menjadi sebahagian daripada rantaian nilai pelbagai sektor pengguna dan perkhidmatan.

Katanya, pensijilan halal juga tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai keperluan pematuhan, sebaliknya boleh membantu membina keyakinan pengguna, meningkatkan kualiti produk dan memperluas akses pasaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi perniagaan, halal tidak seharusnya dilihat hanya sebagai keperluan mendapatkan pensijilan.

“Ia turut memainkan peranan penting dalam membina keyakinan pengguna, memperkukuh kualiti produk, meningkatkan akses pasaran dan menyokong perkembangan perniagaan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia ke-21 (MIBS 2026), di sini hari ini.

Bagaimanapun, Zainal Abidin berkata, pengembangan ke pasaran baharu memerlukan lebih daripada sekadar produk yang baik, terutama apabila syarikat berdepan keperluan memahami kehendak pengguna, saluran pengedaran dan struktur pasaran negara sasaran.

Katanya, hubungan terus dengan pembeli, pengimport dan pengedar juga penting bagi membantu perniagaan mengenal pasti peluang serta membina rangkaian pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Perniagaan Promas Antarabangsa Malaysia (PROMAS), Puan Sri Dr Susan Cheah berkata, kedudukan Malaysia di Asia Tenggara memberi ruang kepada syarikat tempatan untuk menjadikan pasaran ASEAN sebagai antara destinasi pengembangan perniagaan.

“Dalam pasaran global yang berubah dengan pantas hari ini, perniagaan memerlukan lebih daripada sekadar produk yang baik.

“Mereka memerlukan hubungan yang tepat, pembeli, pengedar dan rakan kongsi untuk memasuki pasaran baharu serta mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, MIBS 2026 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 3 hingga 5 Disember akan menghimpunkan syarikat serta delegasi perniagaan dari Malaysia dan beberapa negara Asia.

Pameran berkenaan dijangka disertai kira-kira 10,000 pengunjung perdagangan dan perniagaan serta 60 persatuan perdagangan dan organisasi perniagaan, dengan lebih 700 ruang pameran.

Antara sektor yang terlibat termasuk makanan dan minuman, kesihatan dan kecantikan, elektronik pengguna, fesyen, fabrik dan barangan kulit, produk pengguna serta hiasan rumah.

Penganjuran itu turut memberi tumpuan kepada padanan perniagaan antara pengeluar, pemilik jenama, pengimport, pengeksport, pengedar dan pembeli profesional bagi membuka peluang perdagangan serta peluasan pasaran.

MIBS 2026 dianjurkan bersama PROMAS dan Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), dengan sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×