SEPANG: Pasangan suami dan isteri maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 1.5 Jalan Persiaran Timur, berdekata Desa Pinggiran Putra di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Dengkil menghala ke Putrajaya sebelum terbabit kemalangan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, siasatan awal mendapati motosikal berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lori yang nombor pendaftaran dan jenisnya masih belum dikenal pasti.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat saksi bebas yang berada di lokasi kejadian, lori terbabit dipercayai meninggalkan tempat kejadian selepas kemalangan berlaku.
“Penunggang motosikal merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang bekerja sebagai juruteknik di sektor kerajaan. Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pembonceng motosikal yang maut pula adalah wanita tempatan berusia lingkungan 30-an yang bekerja di sebuah universiti swasta.
Norhizam berkata, wanita itu mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kanan dan turut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, hasil siasatan turut mendapati penunggang motosikal memiliki lesen memandu yang masih sah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan bagi mengesan pemandu lori yang terlibat.
Pasangan itu meninggalkan seorang anak berusia 7 tahun.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh hadir ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-6488474 atau 03-87774264. – UTUSAN











