Syura, adab panduan hadapi pertembungan idea

Syura, adab panduan hadapi pertembungan idea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Prinsip syura dan adab perlu menjadi asas dalam menangani perbezaan pandangan serta pertembungan idea dalam masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amalan musyawarah perlu difahami secara lebih luas dan bukan sekadar membawa pengertian demokrasi, sebaliknya turut merangkumi nilai perundingan, kesabaran dan kebijaksanaan sebelum sesuatu keputusan dibuat.

“Musyawarah itu bukan sahaja demokrasi dalam erti kata atau fahaman yang ditunjukkan, tetapi fahaman yang membawa erti perundingan, kesabaran, kebijaksanaan dan kemudian undi dan akhirnya tawakal kepada Allah SWT,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-75 di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai perkara tersebut amat mendalam dan memberikan kesan kerana ia bukan sekadar peringatan kepada rakyat, malah turut relevan kepada semua pihak.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengertian adab juga tidak seharusnya dilihat dalam ruang lingkup yang terbatas, sebaliknya merangkumi pendidikan, pembelajaran dan hubungan antara satu sama lain.

“Kalau mengikut teori dan ulasan Profesor Dr. Syed Naquib al-Attas, daripada adab itu berkembangnya adabiyyat dan seterusnya tamadun.

“Adab yang baik dan positif boleh menjadi asas dalam membina tamadun. Sebab itu, jika orang Melayu dan umat Islam dapat memahami perkara ini dengan baik, kita perlu sentiasa berhati-hati dalam menjaga adab,” katanya.

Anwar berkata, antara kelemahan yang berlaku bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat dunia adalah kegagalan menggali khazanah turath atau legasi Islam secara mendalam.

“Kita bukan sahaja perlu memahami al-Quran dari segi maknanya, tetapi juga mendalami tafsir, takwil serta kupasan maksud ayat untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, tafsiran dalam pengajian agama juga perlu berlandaskan ilmu yang mendalam dan tidak seharusnya hanya bergantung kepada kupasan semasa atau tafsiran masing-masing.

“Kita mesti merujuk kepada tokoh-tokoh dan ilmuwan terdahulu, bukan hanya bergantung kepada kupasan semasa atau tafsiran masing-masing.

“Kita juga harus terus mengkaji Islam dan memperbanyakkan majlis ilmu, namun pada masa sama, khazanah turath perlu terus dipelihara dan diberikan perhatian,” katanya.

Pada masa sama, Anwar mengingatkan semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang supaya menghayati prinsip syura dan adab dalam setiap perbincangan serta pertembungan idea.

“Peringatan ini untuk kita semua, sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Syura dan adab perlu diterapkan dalam pendidikan kita,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×