BANGKOK: Thai Airways membatalkan beberapa penerbangan domestik dan antarabangsa pada hari ini dan esok berikutan kekurangan kakitangan akibat banjir teruk di Bangkok dan kawasan sekitarnya.
Pembatalan itu berlaku selepas penumpang mengadu terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bagasi mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.
Sebahagian kakitangan syarikat penerbangan itu dilaporkan tidak dapat hadir bekerja selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir, sekali gus menjejaskan operasi pengendalian bagasi di lapangan terbang berkenaan.
Sesetengah penumpang mendakwa terpaksa menunggu antara enam hingga lapan jam untuk mengambil bagasi, manakala ada yang memilih meninggalkan lapangan terbang dan menunggu maklumat lanjut daripada syarikat penerbangan itu.
Penumpang turut melahirkan kebimbangan mengenai barangan penting yang berada dalam bagasi mereka, termasuk ubat-ubatan yang diperlukan bagi merawat masalah kesihatan sedia ada.
Thai Airways mengumumkan pembatalan penerbangan terbaharu itu menerusi laman Facebook rasminya semalam, dengan menyatakan keadaan banjir di Bangkok dan kawasan sekitarnya sebagai punca.
Thai Airways turut meminta penumpang mengikuti perkembangan terkini menerusi laman Facebook rasminya bagi mendapatkan maklumat mengenai pembatalan penerbangan tambahan dan perubahan jadual penerbangan.
Sementara itu, banjir masih menjejaskan beberapa kawasan di Bangkok dan wilayah bersebelahan, Samut Prakan, susulan hujan lebat.
Air bertakung dilaporkan berlaku di kawasan Lat Krabang berhampiran Lapangan Terbang Suvarnabhumi.
Lapangan terbang itu masih beroperasi dan laluan utama menuju ke kawasan berkenaan masih boleh dilalui.
Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan mengelak jalan yang dinaiki air, memperuntukkan masa perjalanan lebih panjang serta menyemak keadaan trafik sebelum bertolak ke lapangan terbang.- AGENSI











