PETALING JAYA: Bermula Januari 2027, Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan melantik warden sepenuh masa di kalangan bekas tentera untuk ditempatkan di seluruh Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu hasil dibuat Majlis Mara selepas meneliti dapatan Kajian Keberkesanan Projek Rintis Perlantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera yang dilaksanakan di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau oleh Ketua Penyelidik Institut Pengajian Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman.
Katanya, terdapat sembilan dapatan utama kajian yang dicatatkan dalam buku laporan setebal 191 muka surat antaranya warden bekas tentera berkesan mengawal disiplin dan keselamatan fizikal asrama.
Tambahnya, dapatan kajian turut mencatatkan bahawa cadangan itu diterima secara positif oleh pelajar, ibu, bapa dan pentadbir.
“Kehadiran warden yang kerap dan sistematik meminimumkan ruang berlakunya Buli dan vandalisme. Pelajar merasa selamat dan lebih berdisiplin dalam mematuhi waktu, kekemasan diri dan asrama, mencanai nilai hormat dan adab.
“Ia juga mampu memperkukuh dimensi kerohanian pelajar dengan keterlibatan langsung warden dalam aktiviti keagamaan, selain mengurangkan beban guru dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik dan bimbingan sahsiah,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata, hasil dapatan juga menunjukkan penurunan drastik isu-isu yang terkait dengan masalah disiplin pelajar, malah masalah buli sepanjang keberadaan warden tersebut hampir sifar.
Tambahnya, berdasarkan laporan positif kajian itu, sejak Julai lalu 10 MRSM telah melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa dari kalangan bekas tentera.
“Alhamdulillah hasilnya setakat ini amat positif dengan penurunan kes-kes disiplin secara drastik di semua MRSM yang terlibat. Saya juga meminta pihak UPM bekerjasama menyediakan modul latihan kepada warden-warden baharu ini dan melanjutkan kajian untuk menangani isu buli mental secara holistic,” katanya.
Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO itu berkata, inisiatif berkenaan mula digerakkan apabila ramai guru-guru MRSM yang mengadu kepadanya bahawa dengan elaun RM300 dan bebanan tanggungjawab hakiki sebagai guru adalah amat tidak berbaloi untuk digalas.
Katanya, ia dibebankan lagi dengan tugas tambahan sebagai warden di asrama.
“Lagipun mereka juga secara realistiknya tidak akan mampu buat rondaan sepanjang masa terutamanya sebelah malam dan awal-awal pagi. Kejadian buli dan penderaan biasanya berlaku waktu-waktu seperti ini.
“Justeru dengan mewujudkan jawatan Warden Sepenuh Masa dari kalangan bekas tentera yang pencen pada usia yang masih produktif seperti 40-an selain buka peluang kerjaya pada mereka, boleh membantu mendisiplinkan pelajar-pelajar,” katanya. – UTUSAN











