IPOH: Sebanyak 33 premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian loteri awam haram dan judi dalam talian di seluruh Perak dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh pihak polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, tindakan itu dilaksanakan menerusi operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Perak bersama TNB.
Katanya, pemotongan bekalan elektrik itu dilaksanakan mengikut peruntukan Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289).
“Operasi ini merupakan usaha berterusan polis Perak dalam membanteras dan mengekang aktiviti perjudian haram di negeri ini.
“Tindakan ini juga bertujuan menyekat pengusaha dan pemilik premis yang menyalahgunakan premis mereka untuk menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, orang ramai khususnya pemilik serta pengusaha premis perniagaan dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan premis bagi menjalankan aktiviti perjudian haram.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat atau masih ingkar terhadap undang-undang.
“Polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram,” katanya. – UTUSAN











