DOHA: Pertempuran antara Houthi dan kerajaan Yemen disokong Arab Saudi mendapat perhatian daripada Hamas yang menawarkan diri untuk menjadi pengantara antara pihak-pihak bertelagah di negara bergolak itu.
Tawaran itu boleh dianggap ‘mengejutkan’ kerana Hamas sebelum ini berperang dengan tentera Israel unrtuk membebaskan Gaza daripada penjajahan rejim Zionis.
Kumpulan pejuang Palestin itu turut menyerang selatan Israel pada 7 Oktober 2023 dan menawan sejumlah tebusan sehingga menyebabkan tentera rejim Zionis bertindak balas sehingga memusnahkan hampir keseluruhan Gaza.
Bagaimanapun, pada 30 Julai lalu Hamas menyatakan proses pelucutan senjata yang dipersetujuinya selepas gencatan senjata dicapai dengan Israel pada Oktober 2025 itu akan diselia oleh Pasukan Penstabilan Antarabangsa, sebuah unit baharu yang dijangka ditempatkan di Gaza jika keadaan kembali reda.
Pasukan itu diketuai Mejar Jeneral Amerika Syarikat (AS), Jasper Jeffers.
Hamas berjanji untuk menyerahkan senjatanya kepada badan pentadbiran Palestin yang baharu, satu aturan yang disambut dengan skeptisisme oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tetapi dianggap sebagai satu kejayaan oleh Presiden AS, Donald Trump.
Pada awal Julai, Hamas turut mengumumkan badan yang mentadbir Gaza selama hampir dua dekad dibubarkan, sekali gus membuka laluan kepada sebuah jawatankuasa teknokrat untuk mengambil alih pentadbiran awam.
Langkah itu menandakan perubahan politik yang besar bagi Hamas, yang mentadbir Gaza sejak pejuangnya mengambil alih wilayah itu daripada pergerakan Fatah pada 2007 selepas memenangi pilihan raya legislatif setahun sebelumnya.
Namun, kesanggupan untuk menjadi pendamai di Yemen itu disuarakan oleh Ketua biro politik Hamas, Khalil al-Hayya. Beliau berkata, kumpulan itu menawarkan diri untuk menjadi orang tengah antara pihak yang bertelagahdan berharap inisiatif itu diterima.
Dalam wawancara televisyen pertamanya sejak memegang jawatan itu pada Julai, Khalil al-Hayya memberitahu stesen televisyen berpangkalan di Qatar, Al Araby TV, bahawa pergerakan itu sudah mengemukakan cadangannya.
“Kami menawarkan diri untuk menjadi orang tengah antara pihak yang berselisih dan berperang di Yemen, dan saya berharap tawaran ini akan diterima,” katanya.
Hayya berkata, Hamas kini menunggu sama ada pihak-pihak terbabit akan menerimanya.
Beliau berkata, Hamas turut bekerjasama dengan beberapa negara bagi menjayakan usaha pengantaraan itu, sambil menggambarkannya sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menggalakkan dialog antara pihak yang bersaing di rantau itu.
Beliau menggesa negara-negara Arab dan Islam mengetepikan perbezaan dan duduk bersama untuk berunding, dengan alasan konflik serantau menghakis sumber dan menguntungkan pihak yang memusuhi mereka.
Inisiatif itu muncul ketika konflik Yemen memasuki fasa baharu selepas bertahun-tahun berada dalam keadaan relatif tenang.
Houthi merampas Sanaa pada 2014 dan berperang dengan gabungan diketuai Arab Saudi selama lebih sedekad.
Gencatan senjata pada 2022 mengurangkan pertempuran dengan ketara, tetapi ketegangan kembali meningkat tahun ini apabila Houthi memperhebat tekanan ketenteraan dan mengancam kapal berkaitan Arab Saudi di Laut Merah.











