KUALA NERUS: Tiga beradik kembar seiras antara mencuri perhatian pada hari pendaftaran 2,546 pelajar baharu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi Sesi Akademik 2026/2027 di sini, kelmarin.
Nur Fatihah Nazaruddin, 23, Nur Insyirah dan Nur Aqilah dari Selangor bukan sahaja berkongsi wajah yang hampir serupa, malah memilih universiti dan bidang pengajian sama untuk meneruskan pengajian mereka.
Mereka ditawarkan mengikuti program Sarjana Muda Sains (Matematik Gunaan) dengan Kepujian di UMT.
Nur Fatihah berkata, dia bersyukur kerana berpeluang melanjutkan pengajian bersama dua adik kembarnya kerana tidak pernah berpisah sejak sekolah rendah.
Katanya, pemilihan UMT juga dibuat bersama selepas melihat bidang pengajian yang ditawarkan sesuai dengan minat dan perancangan mereka.
“Kami sangat gembira kerana dapat belajar hingga ke universiti yang sama. Sejak sekolah rendah kami tidak pernah berjauhan. Secara tidak langsung memudahkan keluarga melawat kami pada masa akan datang,” katanya.
Selain kembar tiga seiras itu, tiga beradik dari Alor Setar, Kedah, turut mencuri tumpuan apabila berpeluang melanjutkan pengajian di UMT serentak.
Mereka ialah Muhammad Alif Fahmi Arshad, 21, lepasan diploma yang mengikuti pengajian selama tiga tahun; Muhammad Amin Taqiuddin, 20, lepasan Kolej Matrikulasi dengan tempoh pengajian dua tahun dan Muhammad Iqbal Izzuddin, 19, lepasan Kolej Matrikulasi yang mengikuti program persediaan selama setahun.
Muhammad Amin Taqiuddin berkata, keadaan itu bukan sahaja membolehkan mereka saling memberi sokongan dalam menempuh alam universiti, malah memudahkan urusan keluarga terutama ketika membuat persediaan penghantaran, pendaftaran dan keperluan sepanjang tempoh pengajian.
“Kami sangat gembira dapat belajar di universiti yang sama kerana banyak urusan menjadi lebih mudah. Apabila melibatkan pendaftaran atau penghantaran, semuanya di tempat yang sama dan pada masa yang sama, sekali gus dapat menjimatkan kos keluarga,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad berkata, kemasukan pelajar baharu adalah detik penting dalam perjalanan akademik mereka dan UMT sentiasa berusaha memastikan proses pendaftaran berlangsung lancar, selesa serta memberikan pengalaman awal yang positif kepada mahasiswa.
“Kami mengalu-alukan kehadiran semua pelajar baharu ke UMT. Setiap seorang hadir dengan latar belakang, pengalaman dan impian yang berbeza, namun mereka kini berkongsi satu perjalanan sebagai warga UMT.
“Manfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia di UMT, bukan sahaja untuk mencapai kecemerlangan akademik tetapi membina kemahiran, persahabatan, jaringan dan pengalaman yang akan menjadi bekalan selepas tamat pengajian,” katanya.
Kemasukan Sesi Akademik 2026/2027 menyaksikan seramai 2,546 pelajar baharu mendaftar di UMT termasuk pelajar antarabangsa dari Emiriah Arab Bersatu, Republik Czech, Turkiye dan Sweden.
Kesemua pelajar berkenaan mengikuti pengajian peringkat sarjana muda dalam pelbagai bidang, khususnya berkaitan sains marin, teknologi maritim, kejuruteraan, sains komputer dan pengurusan. – UTUSAN











