RM300 masih memadai untuk elaun perumahan?

RM300 masih memadai untuk elaun perumahan?

RM300 di bandar kecil tidak semestinya mempunyai nilai yang sama dengan jumlah serupa di Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA satu angka dalam penyata gaji sebahagian penjawat awam yang mungkin sudah terlalu biasa sehingga jarang dipersoalkan iaitu RM300.

Setiap bulan, jumlah itu diterima sebagai Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) bagi penjawat awam dalam gred tertentu.

Persoalannya, dalam realiti kehidupan hari ini, sejauh manakah RM300 masih membantu seseorang mendapatkan tempat tinggal?

Memuatkan artikel berkaitan…

Soalan ini bukan semestinya membawa kepada tuntutan supaya kadar elaun dinaikkan. Sebaliknya, perkara lebih asas perlu difikirkan.

Apabila sesuatu imbuhan diwujudkan untuk tujuan tertentu, adakah masih menjalankan fungsi tersebut selepas keadaan ekonomi dan kehidupan berubah?

RM300 tetap RM300 dalam penyata gaji tetapi nilai praktikalnya berubah mengikut keadaan. Harga rumah, kadar sewa, bil utiliti serta kos perjalanan antara kediaman dengan tempat kerja semuanya mengalami perubahan.

Harga purata rumah teres di Malaysia pada 2025 pula sudah menghampiri RM500,000, meskipun terdapat perbezaan ketara mengikut negeri dan kawasan.

Bagi penyewa, kadar bulanan melebihi RM1,000 juga bukan sesuatu yang luar biasa di sesetengah lokasi. Jika sewa mencecah RM1,500, ITP RM300 hanya menampung satu per lima daripada jumlah tersebut.

Baki perbelanjaan perlu ditanggung daripada pendapatan sendiri, sedangkan kehidupan tidak berhenti pada bayaran tempat tinggal.

Makanan, pengangkutan, pendidikan anak, utiliti, penjagaan keluarga, perlindungan kewangan dan simpanan turut memerlukan peruntukan.

Sebab itu, kemampuan memiliki tempat tinggal tidak wajar dilihat secara terpisah daripada kos sara hidup.

Kadar minimum ITP pernah dinaikkan kepada RM300 pada November 2015.

Lebih sedekad kemudian, jumlah itu masih menjadi perkara yang dibangkitkan, termasuk dalam persidangan Dewan Rakyat pada Januari tahun ini apabila kadar terendah bagi Gred 1 hingga 9 disentuh dengan mengambil contoh kos kediaman di Putrajaya.

Median sewa mengikut kawasan, perubahan harga rumah, tekanan perumahan pada peringkat awal kerjaya serta perbezaan kos antara lokasi boleh menjadi asas penilaian.

RM300 di bandar kecil tidak semestinya mempunyai nilai yang sama dengan jumlah serupa di Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau Johor Bahru.

Pada masa sama, andaian kawasan luar bandar sentiasa menawarkan kediaman murah juga tidak lagi semestinya tepat. Pembangunan telah berkembang ke kawasan pinggir, sekali gus mengubah nilai tanah dan harga rumah.

Dua penjawat awam pada gred sama mungkin menerima ITP yang serupa tetapi keadaan perumahan mereka boleh sangat berbeza. Justeru, faktor lokasi mungkin wajar diberi perhatian dalam semakan akan datang.

Namun, penelitian tersebut tidak semestinya berakhir dengan kenaikan kadar secara menyeluruh. Data mungkin menunjukkan sesetengah jumlah masih munasabah, manakala kumpulan atau kawasan tertentu memerlukan penyesuaian.

Mungkin juga terdapat pendekatan lain yang lebih bersasar.

Setiap tambahan perbelanjaan kerajaan melibatkan wang awam dan memerlukan justifikasi. Pada masa sama, mengekalkan kadar yang tidak berubah untuk tempoh panjang juga wajar dinilai berdasarkan keadaan semasa.

ITP telah wujud hampir enam dekad. Malaysia berubah, begitu juga bandar, pekerjaan, harga kediaman dan corak kehidupan masyarakat.

Namun, keperluan asas seseorang pekerja tetap sama iaitu selepas seharian bekerja, dia memerlukan tempat yang selesa untuk pulang.

Maka, semakan ITP tidak semestinya bermula dengan persoalan berapa ringgit perlu ditambah. Ia lebih wajar bermula dengan menilai sama ada dasar tersebut masih mencapai tujuan asalnya.

Persoalannya bukan sekadar berapa banyak yang diterima, tetapi apa yang masih mampu dilakukan oleh RM300 itu. Berapa banyak ‘rumah’ yang masih ada dalam RM300 tersebut? – UTUSAN

MOHD FIRDAUS ROSLAN
Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×