ALOR SETAR: Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali mempunyai peranan besar dalam bidang perubatan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar ketika bertugas di Kedah.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sebagai seorang doktor perubatan dan penjawat awam, Allahyarhamah mempunyai hubungan yang begitu dekat dengan negeri ini.
“Allahyarhamah pernah berkhidmat di negeri ini dan mencurahkan bakti dalam bidang kesihatan awam, khususnya dalam usaha mempertingkat kesihatan ibu dan anak serta kesejahteraan masyarakat luar bandar.
“Jasa dan sumbangan Allahyarhamah kepada rakyat Kedah bukan sekadar tercatat dalam sejarah perkhidmatan kesihatan negeri, malah terpahat dalam ingatan masyarakat yang pernah menerima khidmat dan bakti beliau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, beliau mewakili kerajaan negeri menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga atas pemergian isterinya, pagi ini.
Ujarnya, pemergian Allahyarhamah merupakan kehilangan besar kepada negara, khususnya kepada mereka yang mengenali dan pernah merasai sentuhan khidmat serta keprihatinan beliau.
“Semoga segala ilmu, budi, bakti dan jasa yang dicurahkan sepanjang hayat Allahyarhamah menjadi amal jariah yang berpanjangan, diterima dan diganjari dengan sebaik-baik ganjaran oleh Allah SWT.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarhamah, melimpahkan rahmat dan keampunan-Nya, serta menempatkan roh Allahyarhamah dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Terdahulu, Dr. Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.20 pagi tadi, dan akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara, Putrajaya. – UTUSAN











