Buli: KKM, KPM perkukuh kerjasama tangani risiko bunuh diri pelajar - Utusan Malaysia

Buli: KKM, KPM perkukuh kerjasama tangani risiko bunuh diri pelajar

DATUK Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (enam dari kanan) menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Kolej Poly-Tech Mara Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani risiko tingkah laku bunuh diri dalam kalangan pelajar, terutama membabitkan kes yang dikaitkan dengan isu buli.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerjasama antara kedua-dua kementerian itu merangkumi pelbagai aspek termasuk peningkatan kesedaran, literasi kesihatan mental, pengukuhan perkhidmatan kaunseling serta pengesanan dan intervensi awal.

Katanya, sesi libat urus sentiasa diadakan membabitkan dua kementerian itu bagi membincangkan isu berkaitan kesihatan mental dan kebajikan pelajar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita telah melaksanakan pelbagai aktiviti kesedaran dan literasi termasuk memperkukuh perkhidmatan kaunseling di sekolah melalui saringan, pengesanan perubahan tingkah laku dan simptom, rujukan serta intervensi awal.

“Kita juga mempunyai Pasukan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) yang boleh digerakkan untuk membantu individu, sekolah atau komuniti yang terkesan menerusi intervensi dan program jangkauan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Kolej Poly-Tech Mara Ipoh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, Program Kesihatan Sekolah turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan literasi dan kesedaran mengenai kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Katanya, usaha itu termasuk membina daya tindak dan keupayaan yang sihat dalam kalangan pelajar, selain mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih inklusif dan positif.

“Kita mahukan pendekatan yang bersifat proaktif dan preventif dengan mewujudkan suasana persekitaran sekolah yang lebih positif supaya ia menjadi satu budaya,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata komunikasi strategik dan komunikasi risiko juga penting dalam menangani isu tingkah laku bunuh diri.

Katanya, penyampaian maklumat mengenai isu berkenaan perlu dilakukan secara berstruktur dan sensitif bagi memastikan mesej yang disampaikan tidak mendatangkan kesan negatif.

“Komunikasi risiko sangat mustahak untuk kita memahami bagaimana kita berkomunikasi mengenai perkara yang mempunyai aspek positif dan negatif, termasuk kesan yang mungkin timbul sekiranya ia dikendalikan dengan tidak tepat,” katanya.

Tambah beliau, usaha menangani tingkah laku bunuh diri dalam kalangan pelajar turut memerlukan kerjasama antara agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ahli akademik.

“Penglibatan ahli akademik penting dalam membantu kementerian melaksanakan intervensi sewajarnya serta membangunkan pelbagai panduan termasuk garis panduan klinikal berkaitan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×