PETALING JAYA: Selepas membuka saingan dengan tiga pingat sejak 26 September lalu, skuad terjun negara gagal menambah koleksi apabila dua acara 1 meter (m) hari ini berakhir tanpa sebarang kilauan podium di Pusat Akuatik Tokyo.
Dalam final 1m wanita, Ong Ker Ying sekadar menduduki tempat keenam selepas mengumpul 208.85 mata, jauh di belakang pemenang emas Lin Shan dari China yang mengumpul 263.05 mata.
Long Yiping dari China meraih perak dengan 254.25 mata manakala Kim Suji dari Korea Selatan melengkapkan podium selepas mengutip 245.05 mata.
Nasib sama menimpa wakil lelaki apabila Muhammad Syafiq Puteh turut menamatkan saingan di tempat keenam dengan 323.25 mata dalam final yang menyaksikan Wang Zongyuan dari China menguasai emas dengan 442.75 mata.
Kim Yeongnam dari Korea Selatan meraih perak dengan 373.30 mata manakala satu lagi wakil China, Liu Chengzan, membawa pulang gangsa selepas mengumpul 361.45 mata.
Seorang lagi wakil negara, Yong Rui Jie, pula gagal mencabar kelompok hadapan apabila hanya menduduki tempat ke-14 dengan 197.75 mata.
Keputusan itu bermakna kem terjun negara terpaksa berpuas hati dengan tiga pingat setakat ini iaitu perak menerusi Harold Enrique dan Clement Elvis Priestly dalam 10m seirama lelaki serta gangsa Yong Rui Jie-Mohamad Nurqayyum dalam 3m seirama lelaki dan Ong Ker Ying-Lee Yiat Qing dalam saingan wanita. – UTUSAN











