TAIPING: Sebanyak 18 premis yang dikesan menjalankan kegiatan perjudian di daerah ini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik sepanjang tahun ini dalam usaha membanteras kegiatan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner S. Saravanan berkata, daripada jumlah itu, bekalan elektrik di 14 premis telah dipotong sebelum ini manakala empat lagi dikenakan tindakan sama hari ini.
Menurutnya, tindakan tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) susulan serbuan polis yang mendapati premis terbabit menjalankan kegiatan perjudian.
“Selepas serbuan dilakukan, kita mengambil tindakan susulan dengan meminta bantuan TNB untuk memotong bekalan elektrik di premis-premis berkenaan.
“Sepanjang tahun ini, sebanyak 18 permohonan telah dibuat dengan 14 premis dipotong bekalan sebelum ini dan empat lagi hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita dalam operasi berkenaan di sini hari ini.
Menurut Saravanan, empat premis yang dikenakan tindakan hari ini terletak antaranya di sekitar Simpang, Taman Kaya dan Taman Berkat.
Katanya, polis akan terus melakukan pemantauan terhadap premis yang dikenal pasti menjalankan kegiatan perjudian bagi memastikan aktiviti itu tidak kembali beroperasi selepas tindakan pemotongan bekalan elektrik.
Beliau berkata, antara modus operandi yang dikesan ialah kegiatan perjudian dijalankan secara berselindung di sebalik perniagaan lain termasuk premis yang beroperasi sebagai kedai telefon bimbit.
“Mereka membuka kedai telefon bimbit tetapi di sebaliknya menjalankan kegiatan ini bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa,” katanya.
Saravanan berkata, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan sekiranya premis yang telah dipotong bekalan elektrik didapati kembali menjalankan kegiatan perjudian.
Menurutnya, polis turut memaklumkan perkara berkenaan kepada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) bagi membolehkan tindakan susulan berkaitan lesen perniagaan premis terbabit diambil.
Katanya, sebarang permohonan penyambungan semula bekalan elektrik bagi menjalankan perniagaan lain tertakluk kepada pihak TNB dan polis akan terus memantau premis berkenaan bagi memastikan kegiatan perjudian tidak berulang.
Tindakan pemotongan bekalan elektrik terhadap premis terbabit dilaksanakan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289). – UTUSAN











