KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026 masih belum sempurna dan memerlukan pelbagai penambahbaikan menyeluruh sebelum ia dapat dimuktamadkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dalam proses penelitian RUU berkenaan, ia tidak hanya membabitkan teks sebaliknya turut melihat aspek praktikal, mekanisme aplikasi yang jelas serta mudah dilaksanakan oleh pelbagai peringkat kerajaan.
Katanya, oleh itu Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) terbuka mendengar segala pandangan, kritikan serta maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi masyarakat sivil dan pihak media.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya melihat perkara ini daripada satu prinsip yang amat mudah.
“Undang-undang yang baik bukan hanya mempunyai niat yang baik tetapi ia harus mempunyai tuntutan yang jelas dan mekanisme aplikasi yang dapat difahami,” katanya semasa berucap dalam Sesi Pendengaran Awam JKPK RUU Kebebasan Maklumat 2026 di Parlimen hari ini.
Azalina berkata, RUU itu telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu dan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas pada 14 Julai.
“Sejak itu, JKPK mengadakan beberapa siri mesyuarat dan prosiding bagi meneliti RUU itu secara mendalam serta mendengar pandangan pihak berkepentingan.
“Kami menyedari banyak kritikan dan rasa tidak puas hati terhadap RUU ini selepas ia dimuat naik di laman web Parlimen. Kami mendengar dan mengakui memang banyak perkara perlu diperbaiki,” katanya.
Menurut Azalina, antara isu utama yang menjadi tumpuan dalam sesi penelitian itu merangkumi skop maklumat yang wajar diakses oleh orang awam, proses permohonan yang lebih praktikal, mekanisme pencabaran atau penyemakan keputusan penolakan serta perlindungan sewajarnya kepada agensi awam.
“RUU ini hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan di Parlimen. Kerjasama erat antara pihak kerajaan, pembangkang dan pemegang taruh amat penting bagi memastikan reformasi institusi negara ini benar-benar membawa impak bermakna,” katanya.-UTUSAN











