Speedy Tigers mara ke separuh akhir, belasah China 5-0

Speedy Tigers mara ke separuh akhir, belasah China 5-0

Kemenangan bergaya itu menyaksikan Speedy Tigers mara ke separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 1 Oktober, jam 7 malam.-IHSAN PERSEKUTUAN HOKI ASIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki lelaki negara terus menunjkkan aksi konsisten di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila membelasah China 5-0 untuk muncul juara Pool B sekali gus menempah tiket ke separuh akhir di Stadium Gifu Prefectural Green, sebentar tadi.

Malaysia tidak menunggu lama untuk menghukum tuan rumah apabila Fitri Saari membuka tirai jaringan pada minit ke-13 sebelum Akhimullah Anuar Esook menyempurnakan pukulan sudut penalti (PC) sembilan minit kemudian bagi memberikan kelebihan 2-0.

China terus dihukum apabila Ashran Hamsani meledak gol padang pada minit ke-24, sekali gus menyaksikan Speedy Tigers menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan tiga gol.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keganasan skuad negara bersambung pada babak kedua apabila Faizal Saari menjadikan kedudukan 4-0 menerusi gol padang pada minit ke-40 sebelum Azrai Aizad Abu Kamal melengkapkan pesta jaringan pada minit ke-59.

Bagaimanapun, aksi terpaksa dihentikan ketika berbaki seminit selepas hujan lebat menyebabkan padang dinaiki air sehingga bola tidak dapat bergerak seperti biasa.

Baki seminit itu akan disambung mengikut peraturan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), namun keputusan 5-0 kekal dan sudah cukup untuk mengesahkan Malaysia sebagai juara Pool B.

Kemenangan bergaya itu menyaksikan Speedy Tigers mara ke separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 1 Oktober, jam 7 malam.

Malaysia kini menanti pemenang antara Jepun atau Korea Selatan yang akan ditentukan menerusi pertemuan kedua-dua pasukan pada jam 4 petang ini bagi menentukan kedudukan akhir Pool A.

Jepun dan Korea Selatan masing-masing memburu kedudukan terbaik kumpulan untuk mengelak pertembungan dengan Malaysia dalam perebutan tiket ke final.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×