Saravanan beri kerjasama penuh kepada SPRM, isytihar harta dalam tempoh 30 hari

Saravanan beri kerjasama penuh kepada SPRM, isytihar harta dalam tempoh 30 hari

M Saravanan ketika ditemui media di perkarangan ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri M Saravanan memaklumkan akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan membekalkan segala maklumat berkaitan harta yang dimilikinya.

Beliau yang juga bekas Menteri Sumber Manusia berkata, permintaan SPRM itu adalah munasabah sebagai sebahagian daripada proses siasatan bagi menentukan sama ada terdapat kekayaan luar biasa yang dimiliki mana-mana pihak.

“Saya telah bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak SPRM untuk membekalkan semua maklumat yang mereka perlukan. Bagi saya, permintaan SPRM itu memang munasabah. Mereka bukan minta apa-apa yang pelik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau ada tuduhan terhadap mana-mana pihak, inilah cara mereka siasat sama ada kekayaan yang luar biasa atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas selesai menerima notis pengisytiharan harta oleh SPRM, di sini hari ini.

Katanya, beliau juga bersedia mendedahkan kepada media segala harta yang akan diserahkan kepada SPRM bagi memastikan perkara itu diketahui secara terbuka.

Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, beliau tidak akan menyembunyikan apa-apa jenis aset dan harta yang dimiliki.

Menurutnya, SPRM turut memberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklumat berkenaan dan bersedia memberikan lanjutan masa sekiranya diperlukan.

“SPRM sangat fleksibel. Pegawai-pegawai SPRM memang sangat fleksibel. Mereka beri tempoh 30 hari. Kalau tak sempat dan perlukan masa, mereka sanggup beri lanjutan masa.

“Semuanya okey. Saya dengan keluarga saya, di peringkat pegawai-pegawai SPRM, tak ada masalah. Semuanya licin,” katanya.

Saravanan berkata, tempoh penglibatannya dalam politik juga menyebabkan beliau mempunyai harta yang diperoleh sepanjang tempoh tersebut.

“Saya dah jadi ahli Parlimen 26 tahun, enam tahun di Dewan Negara, empat penggal sebagai ahli Parlimen, dua penggal Timbalan Menteri, lepas itu Menteri.

“Tak kan saya nak bawa Proton buruk? Mesti saya memperoleh (harta) secara betul,” katanya.

Terdahulu, Saravavan bersama isteri serta dua anaknya hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini bagi menerima notis pengisytiharan harta dikeluarkan agensi pencegahan rasuah itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×