PETALING JAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli diminta memberikan penjelasan secara terbuka dan memohon maaf kepada umat Islam sekiranya terdapat kenyataan atau pegangan terdahulu beliau yang bercanggah dengan prinsip akidah Islam.
Pengerusi Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amir Zuhair berkata, perkara berkenaan bukan isu baharu kerana teguran mengenainya telah dibuat melalui saluran dalaman sebelum ini.
Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga telah mengambil maklum dan memberikan teguran, selain penelitian terhadap perkara itu telah dijalankan.
“Jika benar terdapat pegangan, pemikiran atau amalan yang pernah beliau pegang dan ia bertentangan dengan prinsip akidah Islam, maka jalan yang sepatutnya bukan mempertahankan atau menormalisasikannya.
“Jalan yang sepatutnya ialah bertaubat kepada Allah, mengakui kesilapan, meninggalkan pegangan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan sesi pertemuan dan ‘tabayyun’ bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, susulan dakwaan mengaitkan beliau dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran New Age Movement (NAM).
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, sesi tersebut turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah (PPA) Jakim dan pihak berkaitan.
Amir berkata, beliau tidak akan mempertahankan Marhamah semata-mata kerana beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama. Menurutnya, jawatan berkaitan hal ehwal agama menuntut seseorang memberikan keyakinan kepada umat Islam bahawa prinsip akidah dipelihara dengan penuh amanah.
Beliau turut berpandangan bahawa sekiranya Marhamah masih berpegang kepada pemikiran atau ajaran yang dipertikaikan dan didakwa bercanggah dengan prinsip Islam selepas teguran serta penelitian dibuat, beliau perlu mempertimbangkan tanggungjawab moral untuk berundur daripada jawatan tersebut.
“Saya tidak mengatakan ini kerana kebencian kepada individu. Saya mengatakan ini kerana saya tidak mahu martabat syiar Islam dipertaruhkan kerana mempertahankan seseorang yang sepatutnya terlebih dahulu mempertanggungjawabkan pendirian dan pegangannya sendiri,” katanya.
Amir turut menyeru Marhamah supaya memberikan penjelasan secara terbuka sekiranya kenyataan atau tindakan terdahulu beliau menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.
Beliau berkata, sebarang kesilapan berkaitan pegangan agama perlu diakui dan ditinggalkan, manakala penjelasan serta permohonan maaf wajar dibuat sekiranya terdapat kekeliruan yang timbul.
“Dalam soal akidah, tiada siapa yang lebih besar daripada kebenaran dan tiada jawatan yang lebih tinggi daripada amanah agama,” katanya.
Pada 18 September lalu, Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menafikan dakwaan yang mengaitkan Marhamah dengan amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran New Age.
Menurut kenyataan itu, tangkap layar hantaran Marhamah bertarikh 20 September 2019 yang disebarkan dibuat dalam konteks pembangunan insan dan bukan sokongan atau pengiktirafan terhadap keseluruhan pegangan, ajaran atau amalan individu berkenaan.











