PARIT: Kematian ikan dalam jumlah banyak di Tasik Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) di sini, disahkan berpunca daripada perubahan cuaca dan kekurangan oksigen.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada MDPT selepas menemukan banyak bangkai ikan di tasik berkenaan.
Susulan laporan itu katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah bersama Jabatan Perikanan Perak dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
“JAS Perak turut mengambil sampel air tasik berkenaan untuk menjalani ujian lanjut.
“Hasil siasatan mendapati hanya dua jenis ikan iaitu lampam dan jelawat ditemukan mati di dalam tasik berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, Jabatan Perikanan Perak mengesahkan kematian ikan terbabit berpunca daripada peralihan cuaca dan kekurangan oksigen di dalam air.
Sehubungan itu, Hafezul Helmi menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan. – UTUSAN











