Hampir semua dadah sintetik sudah dicuba

Hampir semua dadah sintetik sudah dicuba

BEKAS penagih dadah sintetik semasa ditemu bual di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Sungai Besi, Kuala Lumpur. -UTUSAN/Shiddieqien Zon
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEAWAL tingkatan empat, remaja ini sudah mengenali dadah sintetik ketika berhibur di kelab malam.

Bermula dengan pil, magic mushroom dalam bentuk balutan sehinggalah dadah berkualiti tinggi seperti kokain, semuanya pernah singgah dalam hidupnya.

Itu pengakuan Umar, 22, (bukan nama sebenar), yang kini berdepan masalah kesihatan mental selepas terjebak dengan hampir semua jenis dadah sintetik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, dia mampu mendapatkan kokain serendah RM10 yang dijual ‘sebaris’, dicampur pula dalam rokok sehingga menjerumuskan dirinya ke dalam kelesuan sepanjang hari.

“Saya mula kenal dadah selepas berkawan dengan orang dewasa yang sudah lama terjebak dengan ketum dan ganja. Biasanya mereka melepak di pondok pengawal keselamatan di taman perumahan.

“Dari situlah saya mula memberanikan diri mencuba, selepas lama memerhati cara mereka. Rasanya memang ‘sedap’ dan buat saya rasa gembira,” katanya.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, dia kemudian mengenali magic mushroom melalui rakan sebaya di sekolah menengah.

“Kami selalu hisap waktu siang, sebaik habis sekolah. Lama juga kami duduk, berjam-jam.

“Kesan dadah itu buat kami buat benda pelik seperti panjat bumbung, jadi berani dan timbul rasa tenang. Petang pula kami main takraw selepas menghisap dadah sintetik,” ujarnya.

BEKAS penagih dadah sintetik semasa ditemu bual di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Sungai Besi, Kuala Lumpur. – UTUSAN/Shiddieqien Zon

Umar akhirnya mendaftar masuk ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi, dekat sini, atas kesedaran dan kerelaannya sendiri.

Berasal dari Puncak Alam, dia pernah bekerja separuh masa sebagai tukang gunting rambut dan mampu mencari pendapatan sendiri ketika itu.

Sejak mengenali dunia kerja, katanya, mendapatkan dadah sintetik menjadi semakin mudah sama ada secara dalam talian atau melalui pengantara.

“Kedai vape paling mudah untuk dapatkan dadah sintetik. Sebut sahaja ‘titik’, ‘pedem’ atau ‘flavor’, jurujual sudah tahu apa yang kami cari,” katanya.

Kini, selepas lebih setahun berada di Puspen, Umar mengakui dirinya semakin stabil, mampu menjalani rutin harian seperti insan lain.

“Saya bersyukur kerana keluarga tidak pernah jemu melawat setiap minggu. Sokongan mereka buat saya benar-benar mahu berubah dan jadi insan yang lebih baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×