Kemas buka 132 tabika autisme

Kemas buka 132 tabika autisme

HANAFIAH Man ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Festival Masyarakat Kemas Negeri Melaka 2026 di Dewan Terbuka Semabok Dalam, Melaka, semalam.-UTUSAN/AMRAN MULUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hampir 2,000 kanak-kanak spektrum austisme ringan akan menerima manfaat peluang pendidikan awal apabila sebanyak 132 buah tabika autisme memulakan operasi dan dibuka mulai bulan Januari tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Mohd. Hanafiah Man, berkata, peluasan program berkenaan turut menyaksikan Melaka yang menjadi perintis sebelum ini akan menerima tambahan dua buah tabika autisme bagi melengkapkan kemudahan di semua daerah di negeri ini.

Menurut beliau, program berkenaan pada asalnya dimulakan sebagai projek rintis di Me­laka dengan tiga tabika dibuka sebelum diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Program tabika untuk anak-anak dalam spektrum mild autism yang bermula dengan tiga di Melaka sebagai rintis sudah dikembangkan ke seluruh negara mulai tahun depan.

“Insya-Allah bermula Januari ini, sebanyak 132 daerah lagi akan mendapat sebuah tabika autisme di setiap daerah. Ini bermakna di Melaka akan ada tambahan dua lagi untuk dua daerah yang belum mempunyainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Festival Masyarakat Kemas Negeri Melaka 2026 di Dewan Terbuka Semabok Dalam di sini semalam.

Majlis disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh.

Mohd. Hanafiah berkata, pelbagai persiapan telah dilakukan bagi memastikan peluasan program berkenaan dapat dimulakan mengikut jadual apabila sesi persekolahan baharu bermula Januari 2027.

Katanya, antara persiapan yang dilaksanakan termasuk latihan guru, kerja-kerja baik pulih kelas serta perolehan peralatan khusus bagi kegunaan murid dalam spektrum autisme.

“Untuk tujuan persiapan itu, latihan guru telah pun dijalankan, baik pulih kelas juga telah dilaksanakan selain perolehan peralatan untuk kelas autisme.

“Insya-Allah, ia akan dapat memberikan manfaat sekurang-kurangnya kepada hampir 2,000 anak-anak autisme,” katanya.

Menurut beliau, sambutan terhadap program itu amat menggalakkan dengan jumlah permohonan yang diterima adalah tinggi.

Namun katanya, kapasiti setiap kelas perlu dihadkan bagi memastikan pengajaran dan perhatian terhadap setiap murid dapat diberikan secara optimum.

Katanya, setiap kelas hanya boleh menempatkan antara 10 hingga 15 murid, mengikut standard yang ditetapkan dengan tiga guru ditempatkan bagi setiap kelas.

“Satu guru akan menjaga antara lima hingga tujuh anak yang terlibat kerana itu adalah standard yang ditetapkan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×