PETALING JAYA: Harimau Malaya sudah bersedia sepenuhnya berdepan tuan rumah, Indonesia dalam aksi kedua Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) di Jakarta, malam ini.
Pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh dalam aksi pertama memberi keyakinan buat pasukan untuk berdepan Indonesia di gelanggang keramat mereka.
“Kami melakukan analisis permainan menentang Bangladesh dan pada masa sama menganalisis permainan Indonesia. Kami sudah bersedia untuk bersaing dengan Indonesia dan bersedia untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Walaupun tiga gol berjaya dihasilkan ketika menentang Bangladesh, Cheng Hoe mengakui Harimau Malaya masih mempunyai ruang untuk diperbaiki, terutama ketika kehilangan bola dan melakukan transisi.
Kelemahan kecil itu menjadi sebahagian daripada kerja rumahnya kerana kesilapan yang sama ketika berdepan Indonesia mampu memberi kesan berbeza di pentas yang jauh lebih mencabar.
Selain itu, Cheng Hoe melihat satu perkara yang cukup positif daripada kemenangan pembukaan iaitu keyakinan pemain dan kemunculan Bergson da Silva, Manuel Hidalgo dan Brad Tapp yang memberi nilai tambah yang baik.
“Bergson, Hidalgo dan Tapp memberikan tenaga tambahan, nilai tambahan dan keyakinan kepada pasukan. Kami berharap mereka terus menunjukkan prestasi baik serta membina keserasian dengan pasukan.
“Kami seperti satu keluarga. Suasana dalam pasukan ketika ini sangat baik dan kami perlu terus percaya kepada diri sendiri,” katanya.
Mengulas kelebihan Indonesia bermain di halaman sendiri dengan sokongan padu penyokong Garuda, Cheng Hoe melihat suasana sedemikian sebagai sesuatu yang mampu membangkitkan semangat pemainnya.
“Beraksi dengan Indonesia di GBK benar-benar memberikan kami keyakinan dan keterujaan. Saya fikir stadium akan penuh dan pemain kami memang menikmati suasana seperti ini.
“Pada masa sama, kami perlu kekal fokus. Kami tahu berdepan Indonesia bukan perlawanan mudah, tetapi fokus kami adalah kepada pasukan sendiri,” katanya yang cukup masak dengan situasi di GBK.
Untuk rekod, Cheng Hoe merupakan jurulatih skuad negara ketika episod penuh dramatik di GBK pada 2019 apabila Malaysia menang 3-2 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.
Kemenangan itu menyaksikan skuad negara berdepan situasi keselamatan apabila pemain serta pegawai terpaksa dibawa keluar dari stadium menggunakan kenderaan perisai susulan kekecohan yang berlaku. – UTUSAN











