iKUALA LUMPUR: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim diarahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi membincangkan penyelesaian krisis adat di negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kaedah terbaik perlu dicari di peringkat negeri bagi memastikan keadaan tidak semakin keruh dan akhirnya rakyat menjadi mangsa.
Katanya, Ismail juga diberikan mandat bertemu dengan Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin, Datuk Shahbandar dan hierarki adat negeri dalam mencari jalan keluar kemelut berpanjangan tersebut.
“Yang penting, rakyat mesti diberikan keutamaan. Masalah mereka mesti ditangani dan mesti disantuni.
“Kita cari jalan penyelesaian yang baik di peringkat negeri dan tentunya kita tidak mahu keadaan semakin keruh dan rakyat akan dimangsakan dengan situasi ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam.
Krisis adat di Negeri Sembilan memasuki episod baharu proklamasi berkenaan penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah diputuskan dan disahkan secara sebulat suara oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco)
Tuanku Muhriz kemudian membatalkan pelantikan Exco berkuat kuasa serta-merta.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pengisytiharan darurat bukanlah pilihan yang perlu diambil bagi menyelesaikan kemelut berkenaan memandangkan tiada sebarang kekecohan daripada segi keamanan berlaku
“Saya tidak fikir ia harus menuju ke arah itu sebab tidak ada sebarang kekecohan dari segi keamanan di Negeri Sembilan dan tidak perlu pun perkara itu untuk difikirkan.
“Tentu ada option (pilihan) yang lebih baik selain daripada mengisytiharkan darurat dan menubuhkan Emergency Council (Majlis Darurat) di Negeri Sembilan,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Pas Negeri Sembilan telah diadakan semalam bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut tersebut.
Presiden UMNO itu berkata, perbincangan itu bertujuan mengkoordinasikan usaha bagi mencari penyelesaian terbaik tanpa mencampuri urusan pentadbiran negeri.
“Saya sendiri pada malam ini (semalam) akan mengadakan mesyuarat bersama seluruh ADUN BN dan juga ADUN daripada Pas serta parti-parti lain untuk saya mengkoordinasikan mesyuarat,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, BN akan berbincang dengan pihak berkaitan termasuk keperluan Pas menggunakan logo BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan penggantungan Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.
“Kita menghormati keputusan yang akan dibuat oleh mereka. Logo dan lambang apa yang akan mereka gunakan, itu terserah kepada mereka,” katanya.
Mengulas masa depan BN, Ahmad Zahid berkata, kerjasama parti itu dengan Kerajaan Perpaduan termasuk Pakatan Harapan (PH) akan ditamatkan sebaik saja Parlimen dibubarkan.
Katanya, BN telah membuat keputusan untuk bersama Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sejajar titah Yang di-Pertuan Agong demi menjamin kestabilan politik negara.
“Dalam keadaan kompleks, kita mahu satu kompas tetap. BN buat keputusan bersama kerajaan selepas PRU15, komitmen kita tetap berada di dalam kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15,” katanya.
Jelasnya, komitmen itu merupakan janji BN kepada Yang di-Pertuan Agong dan telah termeterai menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan kerjasama dalam kerajaan tidak bermakna BN menyerahkan identitinya atau berhenti mempunyai pendirian sendiri. -UTUSAN











