GUA MUSANG: Jarak jauh dari bandar bukan lagi penghalang kepada masyarakat Orang Asli di Pos Bihai dan Pos Belatim di sini mendapatkan perkhidmatan dokumentasi apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membawa kaunternya terus ke kawasan pedalaman.
Menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar), seramai 101 orang masyarakat Orang Asli mengambil peluang menggantikan MyKad generasi baharu sempena Program Kembara Be Ades Ma Kampung di kedua-dua penempatan berkenaan.
Pengarah JPN Kelantan, Halimatusaadiah Ramli@Mohd. Shah berkata, inisiatif turun padang itu memberi kemudahan kepada masyarakat pedalaman untuk menyelesaikan urusan dokumentasi tanpa perlu menempuh perjalanan jauh ke bandar.
Katanya, selain penggantian MyKad, pihaknya turut menerima 61 permohonan MyKid dan 15 permohonan kad pengenalan kali pertama sepanjang program berkenaan.
“Sebanyak lima permohonan pindaan maklumat kad pengenalan dan dua permohonan pindaan sijil kelahiran turut diselesaikan manakala 270 penduduk menerima khidmat nasihat berkaitan urusan pendaftaran dan dokumentasi.
“Pelaksanaan Mekar memudahkan masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman mendapatkan perkhidmatan JPN tanpa perlu ke bandar,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, Program Be Ades Ma Kampung menjadi platform untuk membawa pelbagai perkhidmatan kerajaan terus ke penempatan Orang Asli yang jauh dari pusat bandar.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja mengurangkan kekangan penduduk untuk berurusan dengan agensi kerajaan, malah memastikan masyarakat pedalaman tidak tercicir daripada menerima bantuan dan perkhidmatan yang disediakan.
“Program seperti ini penting supaya masyarakat di pedalaman tidak tercicir daripada menerima perkhidmatan dan bantuan yang disediakan kerajaan.
“Kami akan meneruskan program seperti ini bagi memastikan penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman mendapat akses lebih mudah kepada perkhidmatan kerajaan,” katanya.-UTUSAN.










