Keluarga 55 rakyat Malaysia hilang mohon campur tangan PM, gesa moratorium

Keluarga 55 rakyat Malaysia hilang mohon campur tangan PM, gesa moratorium

DR. R. Manivannan ketika sidang akhbar waris dan ahli keluarga mangsa tragedi di Nepal, setelah selesai perjumpaan bersama NADMA di Wisma Putra, Putrajaya, hari ini.-BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan banjir kilat di Nepal bulan lepas memohon kerajaan mempertimbangkan moratorium khusus terhadap komitmen kewangan mangsa ketika waris berhadapan kesukaran mengakses akaun, aset, perlindungan insurans dan mengurus pinjaman mereka.

Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) Dr. R.Manivannan berkata, selepas 33 hari tanpa kepastian, isu kewangan dan perundangan menjadi antara perkara paling mendesak bagi keluarga terutama mereka yang bergantung kepada mangsa sebagai pencari nafkah utama.

“Ini akan membantu keluarga bertahan sehingga sijil kematian dikeluarkan serta tuntutan insurans dan urusan harta dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas sesi pertemuan waris bersama dengan agensi kerajaan di Wisma Putra di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sesi yang bermula pada pukul 10.15 pagi dan berakhir kira-kira pukul 3 petang itu antara lain melibatkan taklimat berhubung operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) serta proses perundangan dan dokumentasi individu yang masih hilang.

Manivannan berkata, status mangsa sebagai individu hilang menyebabkan keluarga berhadapan pelbagai kekangan kerana aset serta komitmen kewangan atas nama mereka seperti akaun bank, pinjaman kenderaan dan perumahan, kepentingan dalam syarikat serta tuntutan insurans hayat dan perjalanan tidak dapat diuruskan.

Beliau berkata, terdapat keluarga mahu memulangkan kenderaan kerana tidak mampu meneruskan bayaran tetapi mengalami kesukaran kerana kenderaan itu berdaftar atas nama mangsa.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, MASFIH meminta pertemuan melibatkan Bank Negara Malaysia, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan agensi berkaitan diadakan bagi mencari mekanisme penyelesaian khusus untuk keluarga terbabit.

Manivannan berkata, keluarga turut memohon untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat bagi membolehkan penyelesaian secara menyeluruh perkara itu diselaraskan pada peringkat tertinggi kerajaan tanpa menunggu keputusan kerajaan Nepal.

Mengenai usaha mengenal pasti mangsa, Manivannan berkata, keluarga dimaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memperoleh 98 sampel DNA daripada waris dan kesemuanya telah diproses Jabatan Kimia Malaysia setakat 24 September.

Beliau berkata, tiga profil DNA turut dihantar kepada pihak China susulan maklumat tiga daripada rakyat Malaysia yang hilang mempunyai rekod imigresen di Tibet namun MASFIH meminta tindakan menghantar profil DNA anggota lain daripada kumpulan sama dipertimbangkan jika terdapat bukti mereka berada di kawasan itu.

Manivannan berkata, wakil Kedutaan Besar Malaysia di Beijing memaklumkan sekiranya keluarga mempunyai maklumat menunjukkan individu lain turut berada di sana, perkara itu boleh dibincangkan dengan pihak China.

Selain itu, beliau berkata, keluarga meminta penjelasan mengapa Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) tidak memberi tumpuan kepada kawasan Rasuwagadhi berhampiran sempadan Nepal-Tibet yang dipercayai menjadi lokasi terakhir sebahagian rakyat Malaysia sebelum mereka gagal dihubungi.

“Keluarga dimaklumkan kawasan operasi pasukan Malaysia ditentukan berdasarkan kebenaran pihak berkuasa Nepal dan akses ke kawasan tertentu berada di luar kawalan pasukan SMART,” katanya dan menambah waris menghargai usaha pasukan itu memberi penerangan mengenai operasi dan cabaran di Nepal.

Selain itu, beliau berkata, keluarga turut dimaklumkan masih terdapat kemungkinan mangsa ditemukan hidup sekiranya mereka berada di kawasan atau perkampungan terpencil namun kemungkinan itu dianggap amat tipis.

Manivannan berkata, keluarga turut dimaklumkan kerajaan Nepal sedang mempertimbangkan untuk menamatkan fasa SAR dan beralih kepada fasa pemulihan serta pembinaan semula, namun tarikhnya belum  ditetapkan.

Beliau berkata, mereka juga dimaklumkan pihak Nepal berusaha mempercepat proses padanan DNA manakala perbincangan berhubung mekanisme dokumentasi berkaitan mangsa sedang berjalan.

“Keluarga kini bukan sahaja memerlukan maklumat operasi pencarian, tetapi juga hala tuju jelas untuk menangani kesan jangka panjang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×