132 kelas baharu tabika autisme beroperasi Januari tahun hadapan

132 kelas baharu tabika autisme beroperasi Januari tahun hadapan

MOHD. Hanafiah Man (dua dari kanan) mengiringi Ab. Rauf Yusoh menyampaikan hadiah Ikon Usahawan Harapan sempena majlis perasmian Festival Masyarakat Kemas Negeri Melaka 2026 di Dewan Terbuka Semabok Dalam, Melaka hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 132 buah tabika autisme akan memulakan operasi dan dibuka mulai bulan Januari tahun depan sekali gus memperluas peluang pendidikan awal kepada hampir 2,000 kanak-kanak dalam spektrum autisme ringan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Mohd Hanafiah Man, berkata, peluasan program berkenaan turut menyaksikan Melaka yang menjadi perintis sebelum ini akan menerima tambahan dua tabika autisme bagi melengkapkan kemudahan di semua daerah di negeri ini.

Menurut beliau, program berkenaan pada asalnya dimulakan sebagai projek rintis di Melaka dengan tiga tabika dibuka sebelum diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Program tabika untuk anak-anak dalam spektrum mild autism yang bermula dengan tiga di Melaka sebagai rintis sudah dikembangkan ke seluruh negara mulai tahun depan.

“Insya-Allah bermula Januari ini, sebanyak 132 daerah lagi akan mendapat sebuah tabika autisme di setiap daerah. Ini bermakna di Melaka akan ada tambahan dua lagi untuk dua daerah yang belum mempunyainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Festival Masyarakat Kemas Negeri Melaka 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh di Dewan Terbuka Semabok Dalam, di sini, hari ini.

Mohd. Hanafiah berkata, pelbagai persiapan telah dilakukan bagi memastikan peluasan program berkenaan dapat dimulakan mengikut jadual apabila sesi persekolahan baharu bermula Januari depan.

Katanya, antara persiapan yang dilaksanakan termasuk latihan guru, kerja-kerja baik pulih kelas serta perolehan peralatan khusus bagi kegunaan murid dalam spektrum autisme.

“Untuk tujuan persiapan itu, latihan guru telah pun dijalankan, baik pulih kelas juga telah dilaksanakan, di samping perolehan peralatan untuk kelas autisme ini juga telah dilakukan.

“Insya-Allah, saya kira ia akan dapat memberikan manfaat sekurang-kurangnya kepada hampir 2,000 anak-anak autisme,” katanya.

Menurut beliau, sambutan terhadap program itu amat menggalakkan dengan jumlah permohonan yang diterima adalah tinggi.

Namun katanya, kapasiti setiap kelas perlu dihadkan bagi memastikan pengajaran dan perhatian terhadap setiap murid dapat diberikan secara optimum.

Katanya, setiap kelas hanya boleh menempatkan antara 10 hingga 15 murid, mengikut standard yang ditetapkan, dengan tiga guru ditempatkan bagi setiap kelas.

“Satu guru akan menjaga antara lima hingga tujuh anak yang terlibat kerana itu adalah standard yang ditetapkan,” katanya.

Mengulas proses pengambilan murid, Mohd. Hanafiah berkata, proses saringan akan dilaksanakan sepanjang Oktober ini bagi menentukan kesesuaian kanak-kanak mengikuti program berkenaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×