PETALING JAYA: Beregu wanita No. 5 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah mara buat kali pertama ke separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Aichi, Jepun, hari ini.
Gandingan No. 1 Malaysia itu menewaskan beregu ke-26 dunia, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela dari India 21-18, 21-9 dalam masa 42 minit pada suku akhir di Gimnasium Perbandaran Bandar Ichinomiya.
Bagaimanapun, jika berhajat untuk menukar kilauan warna pingat, Pearly-Thinaah perlu melepasi halang jaguh No. 1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China di separuh akhir, esok.
Seteru ketat Pearly-Thinaah itu mengetepikan beregu No. 10 dunia, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu dari Taiwan 21-15, 21-15 dalam masa 45 minit.
Pada edisi terdahulu di Hangzhou 2022, langkah Pearly-Thinaah terhenti di peringkat suku akhir selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee. – UTUSAN











