KUALA TERENGGANU: Membayar RM1,100 seorang bagi satu semester, namun hanya mendapat bilik kecil yang diubah suai daripada ruang pejabat menjadi bilik asrama seperti ‘rumah burung’ dan tidak mempunyai ciri keselamatan mencukupi.
Itu antara keadaan dikesan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu dalam Op Sepadu Premis Sarang Burung yang menyasarkan premis komersial yang diubah suai secara tidak sah untuk dijadikan asrama pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di bandar raya ini, hari ini.
Dalam operasi itu, JBPM mendapati premis di tingkat dua berkenaan mempunyai sembilan bilik kecil yang dibina secara berasingan dan dijadikan sebagai bilik asrama pelajar.
Lebih membimbangkan, bilik berkenaan tidak mematuhi beberapa syarat keselamatan bangunan selain perubahan kegunaan premis daripada pejabat kepada asrama yang tidak mengikut kelulusan asal pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengarah JBPM Terengganu, Nor Mahathir Muhammad berkata, dalam operasi bersepadu itu, sebanyak empat premis dikenal pasti di sekitar Kuala Terengganu.
Katanya, operasi berkenaan turut membabitkan Jabatan Tenaga Kerja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan keseluruhan 32 anggota dan pegawai daripada agensi terlibat.
“Dalam operasi ini, fokus kita adalah premis kedai atau ruang pejabat yang diubah suai secara tidak sah termasuk melihat ketidakpatuhan terhadap syarat bangunan serta aspek keselamatan kebakaran.
“Daripada pemeriksaan yang dilakukan, empat lokasi yang kita pergi asalnya diluluskan sebagai pejabat, tetapi telah ditukar kegunaan kepada asrama pekerja dan pelajar,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan di empat lokasi iaitu Jalan Masjid Abidin, Jalan Engku Pengiran Anom 2, Jalan Engku Sar dan Jalan Sultan Zainal Abidin.
Nor Mahathir berkata, semua bangunan yang dikenal pasti itu didapati tidak mematuhi keperluan ditetapkan di bawah Jadual Kelima Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984, selain terdapat bahaya kebakaran yang boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).
Beliau berkata, JBPM akan mengeluarkan notis kepada pemilik atau penyewa premis terbabit supaya mengambil tindakan menghapuskan bahaya kebakaran yang dikenal pasti.
“Jika pemilik atau penyewa gagal melaksanakan perkara yang ditetapkan dalam notis dalam tempoh diberikan, kita akan menjalankan pemeriksaan kali kedua.
Sekiranya masih gagal mematuhi notis tersebut, kita akan mengemukakan perkara itu kepada pihak pendakwaan untuk membuka kertas siasatan dan seterusnya mengambil tindakan mahkamah mengikut Seksyen 8 Akta 341,” katanya. – UTUSAN











