PETALING JAYA: Sebuah pusat hiburan yang menawarkan persembahan tarian melibatkan golongan ‘sejenis’ diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Khas di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula pukul 12.05 tengah malam itu dijalankan hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan.
Katanya, seramai empat lelaki warga asing terdiri daripada tiga warga China dan seorang warga Filipina berusia antara 21 hingga 31 tahun berjaya ditahan.
“Semakan awal mendapati kesemua warga asing yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Jumlah keseluruhan yang telah ditahan adalah seramai empat orang. Kesemua mereka berumur antara 21 hingga 30 tahuan,” katanya dalam kenyataan.
Zakaria berkata, pusat hiburan yang telah beroperasi sejak tahun lalu itu dipercayai menawarkan hiburan dan persembahan tarian oleh warga asing melibatkan golongan ‘sejenis’ dengan menyasarkan pelanggan tempatan serta warga asing di Lembah Klang.
Katanya, bayaran yang dikenakan bermula dari RM53 hingga RM700 mengikut minuman dan tempahan meja oleh pelanggan.
“Kesemua warga asing ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“Seramai tiga lelaki warga tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya. –UTUSAN











