PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 6 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani melayakkan diri ke suku akhir setelah melepasi halangan wakil tuan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada peringkat 16 terbaik Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Aichi, Jepun, hari ini.
Gandingan profesional itu menewaskan pasangan No. 9 dunia 21-19, 21-16 dalam masa 37 minit di Gimnasium Perbandaran Bandar Ichinomiya.
Sze Fei-Izzuddin yang merupakan prospek pingat Kontinjen Malaysia sekali lagi bakal berdepan ujian getir apabila dijadual bertemu gandingan No. 3 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China di suku akhir.
Bagaimanapun, nasib berbeza mengiringi beregu pecah ganding, Aaron Chia-Tee Kai Wun yang tewas di tangan pasangan No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan 19-21, 16-21 dalam masa 44 minit.
Sementara itu, dalam aksi perseorangan lelaki, perjuangan dua wakil negara terhenti di peringkat 16 terbaik selepas Leong Jun Hao dan Justin tunduk kepada lawan masing-masing.
Pemain ke-33 dunia, Jun Hao tumpas kepada wakil Indonesia yang berada di tangga No. 10 dunia, Alwi Farhan 16-21, 11-21 dalam masa 43 minit.
Justin pula yang menghuni ranking ke-48 dunia tewas kepada pemain No. 13 dunia dari Singapura, Loh Kean Yew 14-21, 14-21 dalam masa 35 minit. – UTUSAN











