PASIR PUTEH: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun maut ditemui lemas dalam kejadian di kawasan air terjun Lata Tujuh, di sini, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.33 petang.
Katanya, pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang berasal dari Melor itu.
“Mangsa berjaya dijumpai hasil operasi pencarian dan selaman oleh anggota penyelamat dengan menggunakan kaedah selaman (skin dive) serta peralatan besi sauh (grappling iron).
“Mayat mangsa dijumpai selepas terlekat pada besi sauh dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi.
Azhar berkata, kawasan pencarian dianggarkan berkeluasan 18 meter kali 24 meter dengan mangsa ditemui pada kedalaman lebih tiga meter.
Katanya, operasi membabitkan 10 pegawai dan anggota dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan pacuan empat roda Toyota Hilux BBP Pasir Puteh.
Operasi turut disertai KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).











