PRN Melaka: Isu Najib propaganda DAP, BN yakin menang lebih besar - Pandak - Utusan Malaysia

PRN Melaka: Isu Najib propaganda DAP, BN yakin menang lebih besar – Pandak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Isu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk meraih kemenangan dengan majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad berkata, dakwaan kononnya isu berkenaan boleh menyebabkan UMNO dan BN tewas merupakan sentimen yang sengaja dimainkan oleh pihak pembangkang, terutamanya DAP.

Menurut beliau, tindakan membangkitkan isu Najib yang dibenarkan menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah hanya sebagai modal politik pembangkang dengan mencetuskan emosi pengundi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi saya tidak timbul isu berkenaan hal itu, yang membangkitkan isu Najib ini hanya DAP. Pengundi sekarang sudah bijak memilih dan mereka sebenarnya mahukan Datuk Seri Najib diberikan pengampunan diraja.

“Pembangkang cuma mahu menaikkan emosi sesetengah pihak supaya menyokong mereka. Pada saya, itu semua karut (nonsense),” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran GGR Motor X Ajak Perkukuh Rangkaian Motosikal EV GGR di Taman Nusa Bestari, di sini hari ini.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan jentera parti, Pandak menegaskan BN di peringkat Kebangsaan mahupun Negeri berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa sahaja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar itu yakin ‘aura’ dan gelombang kemenangan BN di Johor serta Negeri Sembilan bakal menular ke Melaka berikutan faktor kedudukan geografi yang rapat dan persamaan budaya masyarakatnya.

“Asas kejayaan ini bermula dari Johor, kemudian ke Negeri Sembilan yang turut menang besar, dan ikutan ini akan diteruskan ke Melaka. Budaya Melaka tidak jauh berbeza. Apabila Johor dijadikan asas, saya rasa tiada masalah untuk kita ‘membirukan’ semula negeri Melaka kali ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×