Raja Penyu sudah tidak merajuk

Raja Penyu sudah tidak merajuk

PENYU belimbing atau dikenali sebagai Raja Penyu mendarat dan bertelur di Pantai Kuala Abang, Dungun, Terengganu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kali terakhir penyu belimbing atau Raja Penyu direkodkan mendarat dan bertelur di jajaran pantai Terengganu adalah hampir sedekad lalu. Hidupan marin ini digelar Raja Penyu kerana merupakan spesies penyu laut paling besar di dunia.

Berdasarkan statistik Jabatan Perikanan Terengganu, hanya lapan sarang penyu belimbing dikesan pada 2010 manakala dua sarang lagi pada 2017 di Pantai Kampung Jambu Bongkok, Dungun yang menghadiahkan 92 butir telur.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selepas itu, haiwan purba dari zaman dinosaur berkenaan yang menjadi ikonik Terengganu ‘hilang’ dari radar. Ia seolah-olah merajuk untuk mendarat dan bertelur di jajaran pantai khususnya di Rantau Abang, Dungun atas pelbagai faktor termasuk kebanjiran pengunjung yang menggunakan cahaya berlebihan dan aktiviti mencuri telur.

Punca-punca lain adalah se­perti kemajuan dalam bidang teknologi pe­nangkapan ikan dan penggunaan pukat pada waktu itu. Ia menyebabkan banyak penyu belimbing mati di lautan aki­­bat lemas dalam pukat nelayan.

Selain itu, pencemaran alam sekitar di lautan menyebabkan kematian penyu belimbing akibat tertelan plastik yang disangka ubur-ubur.

ZAMAN EMAS RANTAU ABANG

Semasa zaman emas pendaratan penyu di Terengganu sekitar tahun 1970-an, pemajak telur berlesen pernah merekodkan penemuan 3,500 sarang (294,000 telur) dalam satu-satu masa.

Zaman itu menyaksikan industri pelancongan di Terengganu khususnya Rantau Abang berkembang pantas dengan tumpuan pelancong seluruh du­nia ke lokasi tersebut untuk menyaksikan pendaratan penyu belimbing. Suasana meriah bagaikan pesta, mereka datang untuk me­nunggu dan melihat sendiri penyu belimbing mendarat serta bertelur.

Hakikatnya, gergasi samude­ra berkenaan sangat sinonim dengan Terengganu. Imej penyu diangkat sebagai lambang kebanggaan dan produk pelancongan Terengganu. Skuad bola sepak negeri diberi jolokan Sang Penyu.

Namun, jumlah pendaratan penyu belimbing di Terengganu merosot drastik daripada kira-kira 10,000 sarang setahun kepada hanya 50 sarang sekitar tahun 1980-an. Ia menjadi lebih kritikal apabila tiada pendaratan direkodkan sejak 2017.

KEMBALI SINGGAH

Justeru, kehadiran semula penyu belimbing di jajaran pantai Terengganu selepas hampir sedekad tidak dijumpai memberi petanda positif terhadap kelangsungan habitat spesies terancam berkenaan.

Tiga pendaratan Raja Penyu direkodkan di pesisir pantai Terengganu sepanjang bulan ini membabitkan keseluruhan 195 butir telur yang dipindahkan ke tapak pengeraman bagi meningkatkan peluang kelangsungan hidup spesies berkenaan.

Tiga pendaratan itu direkodkan pada 1 September lalu di Pantai Pasir Putih, Marang membabitkan 44 telur; 13 September di Pantai Rantau Abang dengan 81 telur dan Selasa lepas di Pantai Kuala Abang di Dungun dengan 70 butir telur.

Bagi pendaratan pada 1 dan 13 September lalu, penyu induk tidak ditemukan di lokasi ketika pemeriksaan dijalankan. Bagaimanapun, pendaratan ketiga di Pantai Kuala Abang, penyu induk dapat dijumpai dan diukur oleh pegawai pemuliharaan.

TALIAN HAYAT

Ketiga-tiga pendaratan tersebut menjadi rekod penting dalam usaha pemantauan dan pemuliharaan penyu belimbing di Terengganu. Lebih penting, semua telur yang diselamatkan mendapat perlindungan dan dipantau melalui proses pengeraman terkawal.

Keseluruhan 195 butir telur itu kini berada di bawah pengurusan pemuliharaan Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TCIC) Rantau Abang bagi meningkatkan perlindungan sarang dan peluang kelangsungan hidup telur sehingga menetas. Tempoh pengeraman dijangka antara 55 hingga 70 hari bergantung kepada suhu pasir sebelum anak penyu menetas.

Telur-telur ini menjadi ‘talian hayat’ dalam usaha menyelamatkan spesies yang pernah mendominasi pantai Terengganu itu daripada menuju kepupusan.

Ketua Pusat Konservasi Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, tumpuan utama bukan sekadar kepada kepulangan semula induk penyu belimbing ke pantai Terengganu, sebaliknya nasib telur yang kini dieramkan TCIC Rantau Abang.

Katanya, kejayaan telur-telur berkenaan menetas menjadi petunjuk penting terhadap kelangsungan spesies Raja Penyu itu di perairan negara.

“Bab pertama adalah induk­nya kembali, namun perkara yang jauh lebih penting sama ada telur ini mampu menghasilkan generasi baharu. Jika telur-telur ini berkembang dan menetas, maknanya jauh lebih besar daripada sekadar rekod pendaratan kerana ia membuktikan masih terdapat induk jantan dalam populasi berkenaan.

“Kita tidak boleh menganggap setiap telur akan menetas kerana kejayaan pembiakan penyu belimbing bergantung kepada pelbagai faktor. Justeru, setiap telur yang ada sekarang sangat bernilai kerana jumlahnya kecil dan ia berpotensi menjadi gene­rasi baharu bagi spesies yang semakin terancam ini,” katanya.

HARAPAN BAHARU

Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, kemunculan semula Raja Penyu membawa sinar baharu sekali gus membuktikan pantai di negeri ini kekal sebagai habitat selamat dan destinasi pendaratan pilihan spesies marin berkenaan.

Katanya, peristiwa bersejarah itu turut menjadi peringatan kepada semua pihak untuk sentiasa menjaga kebersihan pantai dan laut demi kelangsungan spe­sies warisan negara yang sangat bernilai.

“Penyu belimbing adalah spesies penyu terbesar di dunia dan kemunculannya semula di pesisiran pantai Terengganu selepas hampir sedekad tidak kelihatan adalah sesuatu yang sangat bermakna kepada usaha pemuliharaan spesies ini,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris pula berkata, kemunculan semula penyu belimbing bukan sekadar berita baik untuk pemuliharaan, malah boleh menjadi peluang menghidupkan kembali Rantau Abang sebagai antara kawasan tumpuan berkaitan penyu di negeri ini.

Katanya, pendaratan itu memberi gambaran bahawa kawasan berkenaan masih mempunyai potensi untuk menjadi habitat penting spesies berkenaan.

Sehubungan itu, semua pihak wajar mengambil iktibar daripada pengalaman lalu apabila aktiviti manusia yang terlalu dekat dengan penyu serta pencahayaan berlebihan dipercayai antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kehadiran spesies berkenaan.

“Dulu kita terlampau rakus berkawan dengan penyu. Ada yang naik atas belakang penyu, tolong gali telur dan pegang te­lur penyu. Sekitar tahun 1980-an memang begitulah keadaan penyu di Rantau Abang. Sehingga pencahayaan pun agak luar biasa dan makin lama penyu semakin pupus,” katanya.

USAHA MENYELURUH

Kepulangan semula Raja Penyu ke Terengganu memerlukan semua pihak mengambil langkah lebih serius dan usaha menyeluruh bagi memastikan pantai terus sesuai serta selamat untuk spesies berkenaan singgah bertelur.

Pencahayaan di sepanjang pan­tai, umpamanya, mesti dikawal bagi mengelakkan gangguan terhadap penyu yang naik untuk bertelur. Komuniti nelayan pula perlu lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan bagi mengelakkan penyu terperangkap dalam pukat. Jika terperangkap, ia mesti dilepaskan segera untuk menyelamatkan penyu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×