21 percakapan telah direkod polis dalam kes kematian pelajar SMK Za'ba

21 percakapan telah direkod polis dalam kes kematian pelajar SMK Za’ba

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek (tengah) mengesat air mata selepas menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban hari ini. -UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis hari ini telah merakam sebanyak 21 percakapan dalam siasatan kes kematian seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba di Kuala Pilah semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, mereka yang telah dirakam percakapan itu terdiri daripada para pelajar dan guru sekolah berkenaan dan ibu bapa mangsa.

“Semua keterangan ini akan dikumpulkan untuk membantu polis menyelesaikan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Polis juga telah mendapatkan perintah tahanan reman selama enam hari bermula hari ini terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan polis susulan kematian mangsa,” katanya di sini hari ini.

Malam tadi, mangsa, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah berkenaan.

Allahyarham dipercayai menjadi mangsa buli.

Sementara itu, Alzafny memberitahu, punca kematian mangsa masih belum dapat dipastikan selepas jenazah dibedah siasat hari ini.

Ini kerana, katanya, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini masih menunggu keputusan ujian lanjutan selepas bedah siasat berkenaan.

“Bedah siasat terhadap Muhammad Idlan Fareeq telah dilakukan oleh Pakar Patologi Forensik HTJ, Dr. Akma Nurain Fairuz Mahamad Arif mulai pukul 10.30 pagi tadi dan selesai pada pukul 3 petang,” katanya.

Jenazah telah diuruskan di sini sebelum dibawa pulang ke Gemencheh, Tampin untuk dikebumikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×