Yoga: Umat Islam perlu bezakan senaman dan ritual agama lain

Yoga: Umat Islam perlu bezakan senaman dan ritual agama lain

PROFESOR DR. BASRI IBRAHIM al-AZHARI i
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YOGA semakin menjadi pilihan masyarakat sebagai aktiviti kecergasan dan penjagaan kesihatan. Namun, bagi umat Islam, timbul persoalan mengenai batas antara mengambil manfaat daripada gerakan fizikal dengan mengamalkan unsur ritual atau kepercayaan agama lain.

Perkara itu perlu diberi perhatian kerana yoga mempunyai latar belakang tradisi keagamaan tertentu sedangkan sebahagian bentuknya kini dipraktikkan sebagai senaman fizikal semata-mata tanpa bacaan, meditasi atau ritual.

Menurut Profesor Sanjung, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis, Prof. Dr. Basri Ibrahim al-Azhari, penilaian terhadap sesuatu amalan tidak boleh dibuat berdasarkan nama atau bentuk luaran semata-mata, sebaliknya melihat kandungan, tujuan dan unsur keagamaan dalam amalan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Profesor Dr. Basri Ibrahim
al-Azhari
Profesor Adjung, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis.

Katanya, Islam menggalakkan umatnya menjaga kesihatan tubuh badan. Namun manfaat tersebut perlu dicapai melalui kaedah yang tidak bercanggah dengan akidah dan syariat.

Beliau berkata, dalam hal ini, umat Islam perlu meneliti kandungan sesuatu aktiviti sebelum mengamalkannya secara khusus jika aktiviti berkenaan mempunyai kaitan dengan ritual, kepercayaan atau syiar agama lain.

“Amalan yang mengandungi pemujaan selain Allah, permohonan kuasa ghaib daripada selain-Nya atau kepercayaan manusia boleh menyatukan diri dengan Tuhan melalui ritual tertentu adalah bercanggah dengan asas tauhid.

“Oleh itu, Islam tidak hanya menilai sesuatu perbuatan berdasarkan manfaat fizikalnya, tetapi juga berdasarkan tujuan, kepercayaan dan makna keagamaan yang terkandung dalam perbuatan tersebut,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut beliau, Rasulullah SAW juga pernah bersabda dalam satu hadis yang bermaksud: ‘Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka, dia termasuk dalam kalangan mereka’(Riwayat Abu Dawud, No. 4031) yang menjadi antara asas perbincangan mengenai tasyabbuh atau penyerupaan terhadap golongan lain.

Bagaimanapun, katanya, hadis itu tidak wajar digunakan untuk menghukum setiap perkara yang dilakukan oleh bukan Islam sebagai haram kerana ulama menjelaskan larangan tasyabbuh berkaitan perkara yang menjadi ciri khas, syiar, ibadah atau amalan keagamaan golongan tertentu.

“Perkara yang bersifat umum dan tidak mempunyai makna keagamaan seperti teknologi, ilmu perubatan dan senaman fizikal tidak semestinya termasuk dalam larangan tersebut.

“Dalam konteks yoga, persoalan utama sama ada gerakan itu sekadar latihan fizikal atau masih menjadi sebahagian daripada ritual serta penghayatan kerohanian agama Hindu,” katanya.

Beliau berkata, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 hingga 24 Oktober 2008 turut membincangkan kedudukan senaman yoga.

Menurutnya, keputusan muzakarah yang dirujuk Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu dan menggabungkan amalan fizikal dengan unsur keagamaan, mantera serta pemujaan bagi tujuan tertentu, termasuk mendapatkan ketenangan dan penyatuan diri dengan Tuhan, adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah umat Islam.

Dalam pada itu, beliau berkata, hukum sesuatu aktiviti fizikal tidak wajar ditentukan berdasarkan nama semata-mata kerana terdapat latihan yoga moden yang digunakan sebagai senaman fizikal.

“Berjalan kaki, berenang, mengangkat beban dan melakukan regangan tubuh adalah aktiviti fizikal yang bersifat umum. Walaupun aktiviti tersebut turut dilakukan oleh masyarakat bukan Islam, persamaan itu tidak menjadikannya haram secara automatik,” katanya.

Katanya, seseorang Muslim yang melakukan regangan otot, mengawal pernafasan atau memperbaiki postur badan untuk tujuan kesihatan tidak semestinya melakukan tasyabbuh, sekiranya aktiviti itu tidak disertai ritual atau kepercayaan agama lain.

“Gerakan meregangkan otot belakang, membuka bahu dan pinggul, menguatkan otot perut, mengawal pernafasan bagi tujuan kecergasan serta pada asalnya adalah harus jika dilakukan tanpa mantera, pemujaan atau kepercayaan agama lain,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, umat Islam juga perlu meneliti kandungan kelas atau program kecergasan sebelum menyertainya, termasuk tujuan latihan, makna gerakan, bacaan atau muzik digunakan serta kewujudan mantera, seruan kepada kuasa ghaib atau ritual pembukaan dan penutupan.

“Jika terdapat unsur meditasi, mantera, pemujaan atau penyatuan diri dengan Tuhan menurut agama lain, umat Islam hendaklah menjauhinya,” katanya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×